KUEHNER
Farah Adila Raden
farah.adilla@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Bhd memperuntukkan antara RM1.2 bilion dan RM1.3 bilion bagi perbelanjaan modal (Capex) tahun ini dengan sebahagian besarnya digunakan bagi meningkatkan rangkaian serta usaha pendigitalan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Michael Kuehner berkata, pihaknya akan terus memberi perhatian kepada meningkatkan pengalaman pelanggan.

“Tahun lalu, kami memperuntukkan RM1.5 bilion Capex dengan usaha ditumpukan kepada meningkatkan pengalaman pelanggan.

“Kami akan meneruskan usaha sama tahun ini bagi memastikan perkhidmatan kepada pelanggan yang dilihat bertambah baik sejak 2017,” katanya pada pengumuman prestasi kewangan suku keempat 2017 melalui sidang video dari Nusajaya, Johor, semalam.

Menurutnya, pada tahun lalu, penambah baikan rangkaian Celcom adalah faktor penyumbang kepada prestasi lebih baik pada tempoh berkenaan dengan 4G dan LTE-A masing-masing mewakili 87 peratus dan 74 peratus liputan di seluruh negara.

Bagi tahun kewangan 2017, keuntungan bersih Celcom meningkat 1.4 peratus kepada RM1.25 bilion daripada RM1.23 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Kuehner berkata, prestasi itu hasil daripada keutamaan yang diberikan kepada pengalaman pelanggan dan elemen penjanaan pendapatan utama termasuk jualan dan pengedaran, rangkaian dan produk.

“Keputusan kewangan yang lebih baik ini membuktikan usaha berterusan secara beransur-ansur membolehkan kami mendapat semula kedudukan di pasaran,” katanya.

Perolehan Celcom meningkat 0.6 peratus kepada RM6.66 bilion daripada RM6.62 bilion yang direkodkan pada tempoh sama 2016.

Prestasi tahun kewangan 2017 menandakan peningkatan pertama syarikat daripada aspek keuntungan dan pendapatan bersih selepas tiga tahun berturut-turut mencatatkan rekod kurang memberangsangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:49 AM