HAMZAH (tengah) bersama Shukry (dua dari kanan), Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong (dua dari kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh (kiri) dan Zulkiflee ketika majlis pelancaran Akaun Simpanan-i Bank Rakyat untuk ibadah umrah di Menara Bank Rakyat, semalam.
Nora Mahpar
noramahpar@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Bank Rakyat memperkenalkan akaun simpanan bagi tujuan menunaikan umrah di mana pelanggan hanya perlu membayar deposit sebanyak RM500 untuk pendaftaran dan RM10 untuk membuka akaun simpanan umrah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, inisiatif Bank Rakyat itu adalah satu konsep tabungan yang dapat menguruskan perjalanan umrah dengan lebih teratur.

“Pengenalan akaun baru ini juga adalah alternatif kepada bakal jemaah untuk membuat simpanan dan mengikuti pakej umrah yang selamat, sekali gus menangani masalah penipuan pakej umrah,” katanya pada majlis pelancaran simpanan umrah itu di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan Presiden merangkap pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid.

Beliau berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna, kerugian bernilai lebih RM21 juta dilaporkan membabitkan 3,482 kes penipuan sejak 2012 hingga Oktober tahun lalu.

“Usaha Bank Rakyat menawarkan kemudahan bagi menunaikan ibadah umrah membuktikan komitmen Bank Rakyat sebagai bank koperasi Islam penyayang dalam membantu masyarakat merancang kewangan secara bijak dan selamat,” katanya.

Terdapat tiga pakej ditawarkan iaitu Pakej Al Safa pada harga RM5,488, Pakej Al Marwah (RM5,988) dan Pakej Zam Zam (RM 6,988).

Menurutnya, melalui pelancaran berkenaan Bank Rakyat menyasarkan simpanan berjumlah RM100 juta menerusi Akaun Simpanan-i untuk Ibadah Umrah menjelang akhir tahun ini.

“Sejak mula diperkenalkan pada awal tahun lalu, kami sudah merekodkan 10,500 pemegang akaun baru membabitkan jumlah simpanan RM8 juta setakat ini.

“Kami yakin dalam tujuh bulan ini, kita dapat capai sasaran RM100 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 6:45 AM