NAKAMURA (tiga dari kanan) menunjukkan kamera X-H1 pada majlis pelancarannya, semalam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Fujifilm (Malaysia) Sdn Bhd (Fuji Malaysia) menyasarkan jualan 500 unit kamera berprestasi tinggi terbarunya iaitu X-H1 menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Urusannya, Yoshitaka Nakamura berkata, sasaran terbabit mampu dicapai kerana kamera itu dihasilkan bagi memenuhi keperluan jurugambar dan juruvideo profesional yang bekerja dalam suasana mencabar dengan tekanan tinggi.

Menurutnya, syarikat merancang melaksanakan kempen promosi agresif melalui sesi pembabitan dengan jurugambar dan juruvideo akhbar daripada syarikat media tempatan bagi mencapai sasaran jualan terbabit.

“Kamera ini diyakini mampu menarik perhatian mereka kerana ia direka untuk golongan itu yang biasanya perlu merakam acara yang menampilkan aksi pergerakan pantas seperti sukan, berita, fesyen, komersial atau sukan motor,” katanya pada pelancaran kamera X-H1 di sini, semalam.

X-H1 adalah kamera berprestasi tinggi dalam siri kamera tanpa cermin X-Series di mana ia tampil dengan pelbagai ciri berguna untuk menyokong rakaman foto dan video berkualiti tinggi dalam pelbagai keadaan.

Kamera X-H1 mula boleh didapati di pasaran minggu depan di semua cawangan Fujifilm Wonder Photo Shop dan outlet pengedar terkemuka pada harga RM7,988 (badan) dan RM9,188 (X-H1 bersama kit pemegang bateri).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 8:01 AM