JOHARI (tengah) menyampaikan anugerah Syarikat Terbaik Tahunan Fintech kepada Rakuten Trade Sdn Bhd pada Anugerah Fintech di Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: Kerajaan memberi komitmen untuk menyediakan persekitaran ekonomi yang jelas bagi menjamin perniagaan digital terus berkembang.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan juga komited untuk terus memperkasakan ekosistem perniagaan teknologi kewangan (Fintech) di Malaysia.

“Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan persekitaran ekonomi serta kepemimpinan yang jelas kepada dunia korporat bagi memastikan tidak berlaku sebarang gangguan terhadap perniagaan digital.

“Ekonomi digital kini menjadi penyumbang penting kepada negara dengan menyumbang 17.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2016 dan dalam landasan untuk mencapai sasaran peningkatan kepada 20 peratus pada tahun 2020.

“Menjadi harapan kami supaya pembangunan berterusan dalam industri ini akan meningkatkan pembabitan industri kewangan dan melengkapi pelbagai inisiatif ke arah menambah pendapatan rakyat menerusi pembabitan mereka dalam ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Fintech 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden Persatuan Usahawan Dinamik (PUD) Datuk Rosthman Ibrahim dan Ketua Pegawai Komersial NSTP Alfian Abu Talib.

Majlis anugerah anjuran PUD itu adalah kemuncak kepada Ekspo Fintech Malaysia 2018 yang dianjurkan selama dua hari berakhir semalam.

Ekspo Fintech diadakan bagi memberi pendedahan dan peluang kepada mereka yang berminat mengenai sektor baharu muncul.

Sebanyak 13 kategori anugerah dipertandingkan mem-
babitkan aplikasi, syarikat dan individu pada majlis itu.

Anugerah Personaliti Fintech Terbaik Tahunan dimenangi Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Domenic Fuda manakala Personaliti Tahunan Terbaik diterima Ketua Pegawai Eksekutif Pitch Platforms Sdn Bhd, Sam Shafie.

Sementara itu, Anugerah Aplikasi Perbankan Terbaik Tahunan dimenangi Maybank, Syarikat Pemula Niaga Fintech Terbaik Tahunan (Money Match), Kempen Pemasaran Fintech Terbaik Tahunan (Maybank) dan Syarikat Terbaik Tahunan (Sedania As-Salam Capital Sdn Bhd).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 6:13 AM