RAJA Nazrin, Ariffin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Bhd, Azrin Sabirin (kanan) bersama panel Gerakan Kesedaran Hibah Perak.
Hazwan Faisal Mohamad
hazwanfaisal@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Wasiyyah Shoppe Bhd diberikan hak eksklusif sebagai rakan strategik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi menjalankan aktiviti kesedaran harta pusaka dan hibah.

Pengarah Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin berkata, perjanjian selama tiga tahun itu membolehkan Wasiyyah Shoppe bergerak ke seluruh Perak dengan keutamaan diberikan kepada hibah hartanah dan hibah saham syarikat.

“Idea Gerakan Kesedaran Hibah Perak tercetus hasil daripada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, awal Januari lalu ketika sesi penyerahan watikah pelantikan Ahli MAIPk.

“Dengan penyelarasan daripada MAIPk, Wasiyyah Shoppe juga akan bergerak ke seluruh negeri bagi memberi ceramah dan membuka klinik bagi membantu rakyat Perak mendapat maklumat dengan lebih tepat mengenai hibah.

“Seperti yang dititahkan baginda Sultan, projek ini mempunyai beberapa objektif utama iaitu antaranya untuk memberikan kesedaran kepada rakyat Perak berkaitan isu harta pusaka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan berkongsi maklumat mengenai bagaimana hibah boleh membantu pewarisan harta dengan lebih cepat dan cekap.

“Kami juga akan membantu rakyat Perak menyediakan dokumen hibah yang patuh syariah serta membantu menyelesaikan kes pusaka yang masih tertunggak,” katanya.

Ariffin berkata, Wasiyyah Shoppe menjangkakan seramai 50,000 orang Islam di Perak akan dibantu untuk menyediakan dokumen hibah mereka dalam tempoh perjanjian itu.

Dalam majlis menandatangani perjanjian itu, MAIPk diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Amiruddin Muhamed manakala Wasiyyah Shoppe oleh Ariffin.

Pada majlis sama, Sultan Nazrin turut melancarkan Gerakan Kesedaran Hibah Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 8:02 AM