TATA Group syarikat automotif terbesar di India. FOTO arkib NSTP
Farah Suhaidah Othman
news@nstp.com.my


KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengintai peluang untuk menarik syarikat automotif terbesar India iaitu Tata Group ke Tanjung Malim.

Hasrat itu selepas kejayaan syarikat pengeluar terbesar di China, Zhejiang Geely Holding Group (Geely) menjalin kerjasama sebagai rakan strategik PROTON Holdings Berhad (PROTON).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indusri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, Kementerian mensasarkan peluang pelaburan baru dari negara India di kawasan Tanjung Malim selepas Geely dan PROTON memilih untuk memindahkan kilang pengeluaran kereta ke Tanjung Malim.

Katanya, industri automatif di India dilihat semakin berkembang kukuh terutama apabila Tata Group mengambil alih jenama Jaguar dan Land Rover.

“Tata Group sudah mengambil alih jenama kebanggaan England iaitu Jaguar dan Land Rover sekaligus menjadikan industri automatif semakin kukuh di negara itu.

“Kita mampu menarik minat mereka untuk membina hab pengeluaran dua kenderaan jenama mewah itu ke negara ini sekaligus membuka peluang syarikat berkenaan (Tata Group) menembusi pasaran automatif di Asia Tenggara,” katanya ketika ditemui pada rumah terbuka di kediamannya di Taman Gunung View sempena sambutan Tahun Baru Cina di Ipoh, hari ini.


ONG Ka Chuan bersama keluarga mengadakan rumah terbuka Tahun Baru Cina. FOTO Muhaizan Yahya

Ka Chuan berkata, beliau sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagi mendapatkan sokongan merealisasikan hasrat kementerian itu.

“Setakat ini masih belum ada perbincangan bersama syarikat automatif terbesar India itu namun selepas Tahun Baru Cina ini saya akan menghubungi syarikat berkenaan bagi membincangkan perkara itu,” katanya.

Menurutnya, sekiranya perancangan itu berjaya dilaksanakan, beliau yakin industri berkenaan mampu menjana sehingga 100,000 peluang pekerjaan sekaligus menarik minat anak negeri ini untuk kembali berkhidmat di Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 7:01 PM