MAYBANK menjangka lebih 23,500 transaksi e-Ang Pow dicatat pada musim perayaan ini.
Sofyan Rizal Ishak
news@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Malayan Banking Berhad (Maybank) menjangkakan peningkatan 30 peratus dalam transaksi e-Ang Pow pada musim perayaan Tahun Baru Cina kali ini dengan penggunaan berterusan kemudahan perbankan digital dalam kalangan pelanggan.

Ketua Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komunitinya Datuk Lim Hong Tat berkata, jangkaan itu berdasarkan sambutan menggalakkan bagi perkhidmatan yang ditawarkan pada musim perayaan Tahun Baru Cina sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, Maybank berjaya merekodkan hampir 16,000 transaksi bernilai lebih RM1.6 juta bagi perkhidmatan e-Ang Pow sejak ia dilancarkan pertama kali pada 2016 dan jumlah transaksi terus meningkat 15 peratus kepada lebih 18,000 dengan nilai melonjak hampir 30 peratus kepada RM2.1 juta pada tahun lalu.

“Kami percaya lebih ramai pelanggan akan menggunakan perkhidmatan e-Ang Pow bagi tahun ini berikutan trend terbabit dan penerimaan perbankan digital yang semakin meningkat dan kami jangka lebih 23,500 transaksi dengan jumlah nilai RM2.7 juta dihantar semasa musim perayaan kali ini,” katanya, semalam.

Beliau berkata, had pemindahan maksimum bagi perkhidmatan itu adalah RM1,000 bagi setiap transaksi dengan had maksimum harian RM5,000 melalui aplikasi dan RM30,000 (laman sesawang) dengan pelanggan boleh melakukan sehingga 10 transaksi pada satu-satu masa.

“Perkhidmatan hadiah e-tunai kami bukan saja selamat, mudah dan mesra alam, malah ia juga membolehkan pelanggan menghantar kepada sesiapa dengan hanya menggunakan nombor telefon bimbit.

“Peningkatan penggunaan perbankan atas talian dan mudah alih memacu penggunaan perkhidmatan digital kami pada hari ini dan ia dijangka mengukuhkan lagi kehadiran kami dalam segmen ini,” katanya.

Lim berkata, Maybank juga menawarkan perkhidmatan e-tunai untuk musim perayaan Hari Raya dan Deepavali, sekali gus menjadikan ia satu-satunya bank di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan terbabit untuk ketiga-tiga musim perayaan utama.

“Sambutan menggalakkan turut diterima bagi dua perayaan lain dengan Hari Raya menyaksikan hampir 13,000 transaksi e-Duit Raya bernilai RM1.3 juta dan DeepaMoney RM300,000 pada tahun lalu,” katanya.

Bersempena perkhidmatan e-Ang Pow 2018, Maybank melancarkan peraduan ‘Shake & Win” pada aplikasi Maybank baru dan komputer peribadi di mana pengguna berpeluang untuk memenangi hadiah menarik bernilai RM3 juta termasuk hadiah utama seperti Microsoft Surface 4 Pro, Samsung Note 8, Huawei Mate 10 Pro, kamera Xiaomi Mijia 360, Nintendo Switch dan jam tangan Fitbit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 7:42 AM