Mahanum Abdul Aziz
mahanum_aziz@bh.com.my

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengulangi pendiriannya bahawa Malaysia tidak melarang pelaburan mata wang kripto buat masa ini, sebaliknya membiarkan pasaran membuat keputusan mengenainya.

Gabenornya Tan Sri Muhammad Ibrahim bagaimanapun menegaskan wang kripto kekal tidak diiktiraf sebagai mata wang sah diperlakukan (legal tender).

Beliau berkata, bagi mereka yang melabur dalam mata wang kripto mesti tahu ia berisiko tinggi.

“Orang ramai mesti tahu apa yang mereka sertai (pelaburan mata wang kripto), yang pertama ia bukan wang fiat dan kita tidak mengiktirafnya sebagai mata wang sah diperlakukan.

“Jika mereka melabur dalam kripto, mereka mesti tahu risikonya,” katanya pada majlis makan malam sempena Ulang Tahun ke-40 Kelab Alumni Sekolah Perniagaan Harvard Malaysia di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai mata wang kripto dalam sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan pada majlis makan malam itu.

Muhammad berkata, Malaysia mengambil pendekatan sedikit berbeza terhadap mata wang kripto, tidak seperti beberapa negara yang memutuskan untuk melarangnya.

Beliau berkata, kertas konsep mengenai mata wang digital itu sedang dirangka dan akan dimuktamadkan pada bulan ini.

“Pada asasnya, kami akan memastikan promoter mata wang kripto untuk menjadi lebih telus, metodologi pemulihan harga yang telus dan orang yang bertanggungjawab di sebaliknya juga telus.

“Harapnya, keputusan (pelaburan) dapat dibuat setelus mungkin,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhammad melahirkan kebimbangan terhadap pembekalan rumah mampu milik yang mana harganya tidak mampu dimiliki golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (gaji dalam lingkungan RM3,855 dan ke bawah).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 9:03 AM