Pengarah Urusan Les’ Copaque Group Burhanuddin Md Radzi (tiga kiri) dan Khoo (kanan) pada majlis pelancaran biskut PinPin di Shah Alam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Shah Alam: Gloway Marketing Sdn Bhd (Gloway Marketing), pengedar produk snek makanan jenama PinPin, berhasrat meluaskan pasaran produknya ke Asia Tenggara dengan Indonesia dijangka menjadi destinasi pertama eksport dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Pengarahnya Evans Khoo berkata, syarikat memilih Indonesia sebagai destinasi pertama kerana yakin produk itu akan mendapat sambutan menggalakkan berikutan PinPin menggunakan jenama animasi negara iaitu Upin dan Ipin yang terkenal di sana.

“Kami kini dalam proses rundingan dengan pihak berkuasa di sana bagi memenuhi pelbagai syarat dan undang-undang ditetapkan sebelum memasuki pasaran mereka,” katanya pada pelancaran produk terbaru PinPin di sini.

Majlis itu menyaksikan Gloway Marketing melancarkan dua produk snek makanan jenama PinPin baru iaitu PinPin SnekMi perisa ayam dan pedas serta PinPin Corn Snack (coklat dan strawberi).

Beliau berkata, syarikat menyasarkan untuk meneroka dua lagi pasaran di Asia Tenggara iaitu Brunei dan Selatan Thailand tahun ini.

“Bagaimanapun, kami akan melakukan penerokaan pasaran eksport ini secara berperingkat dan masih mengkaji situasi pasaran do kedua-dua negara terbabit,” katanya.

Mengulas pasaran di Malaysia, Khoo berkata, pihaknya dalam usaha meluaskan saluran pemasaran bagi produk PinPin di pasaran tempatan melalui jualan di pelbagai tempat termasuk di kedai runcit, pasar raya dan stesen minyak.

Menurutnya, syarikat kini memiliki 15 pengedar di seluruh negara dan jumlah itu akan ditambah mengikut keperluan dan permintaan produk di pasaran.

“Kami menyasarkan untuk menggandakan jualan kepada 100 peratus tahun ini dan yakin ia mampu dicapai berdasarkan kejayaan mencatatkan jualan melebihi sasaran yang ditetapkan sejak berada di pasaran pertengahan tahun lalu.

“Keyakinan ini dipacu melalui kualiti makanan dan kekuatan jenama Upin dan Ipin sendiri di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

Gloway Marketing bekerjasama dengan UI Trading, anak syarikat jenama animasi Upin Ipin yang dihasilkan Les’ Copaque Production memasarkan lapan produk PinPin membabitkan varian snek mi, snek jagung, biskut dan wafer.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 9:01 AM