MUSTAPA
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kehadiran Alibaba di Malaysia melalui Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) bukan bermakna lambakan produk China akan dibawa masuk ke negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood berkata, DFTZ akan membuka peluang kepada PKS tempatan menerokai pasaran luar negara yang lebih luas berdasarkan keupayaan platform itu yang juga sektor e-dagang ketiga terbesar di dunia.

“MDEC merancang meluaskan DFTZ di luar platform Alibaba dan melihat Lazada, 11Street dan Aladdin Street untuk fokus kepada eksport di pasaran Asia Tenggara.

“Tahun ini, kami akan mengorak langkah lebih jauh dengan memfokus kepada perluasan DFTZ yang membabitkan perdagangan melalui laut, sekali gus mengubah pasaran perdagangan global di mana fasa pertama pengembangan itu merangkumi lokasi di Malaysia seperti Pelabuhan Klang dan Bukit Kayu Hitam,” katanya di Forum Ekonomi Digital di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sementara itu, Mustapa berkata, kementerian menyasarkan peningkatan kira-kira 10,000 syarikat untuk menyertai platform e-dagang Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) menjelang akhir tahun ini berbanding 1,998 syarikat pada November lalu.

Beliau berkata, projek perintis DFTZ yang dilancarkan tahun lalu itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pemain e-dagang tempatan dan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 8:16 AM