LUNDAL
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Maxis Berhad (Maxis) mencatatkan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) RM4.597 bilion iaitu meningkat 2.1 peratus daripada RM4.502 bilion, mencerminkan hasil lebih tinggi dan kesan positif inisiatif pengoptimuman kos pada 2017.

Margin Ebitda (di atas hasil perkhidmatan) adalah kukuh pada 53.9 peratus berbanding 53.2 peratus tahun lalu dan keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat 5.5 peratus kepada RM2.086 bilion berbanding RM1.977 bilion berikutan EBITDA lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Morten Lundal berkata, 2017 adalah tahun kukuh dengan pelbagai pencapaian membanggakan dan Maxis menambah bahagian pasaran bagi hasil dan keuntungan.

“Kami membangunkan rangkaian 4G LTE yang tidak dapat ditandingi sebagai rangkaian data terbaik dan terpantas di negara ini. Keseluruhannya, pelanggan Maxis menikmati lebih banyak data berkualiti, produk menarik serta sambungan hebat.

“Kami bangga mencapai kepuasan pelanggan paling tinggi pernah direkodkan serta berada dalam kedudukan baik ke arah merealisasikan cita-cita mendigitalkan Maxis sepenuhnya,” katanya.

Dalam tahun kewangan sama, hasil perkhidmatan meningkat positif dalam pasaran yang menurun sebanyak 0.8 peratus kepada RM8.525 bilion daripada RM8.455 bilion tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 8:11 AM