Mahanum Abdul Aziz
mahanum_aziz@bh.com.my


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan dividen lebih enam peratus bagi 2017, demikian mengikut pemerhati pasaran.

Prestasi pasaran ekuiti tempatan dan global yang lebih baik pada tahun lalu, menyokong pengurus dana persaraan itu untuk mencatatkan pulangan pelaburan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2017, indeks penanda aras Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.45 peratus atau 161.28 mata untuk berakhir pada 1,796.81 mata.

Pada masa sama, pelaburan merentasi pelbagai kelas aset membolehkan KWSP mencapai sasaran dividen sebenar tidak kurang dua peratus melebihi kadar inflasi.

Setakat September 2017, sebanyak 50.45 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap sementara pelaburan luar negara merangkumi 30 peratus.

Pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang dan Hartanah dan Infrastruktur pula masing-masing mewakili 3.53 peratus dan 4.16 peratus.

Berdasarkan pengumuman pada suku ketiga 2017, nilai aset pelaburan KWSP mencecah RM771.20 bilion, meningkat 5.48 peratus atau RM40.09 bilion berbanding RM731.11 bilion yang dicatatkan pada 31 Disember 2016.

Pendapatan pelaburan KWSP pada suku kedua berakhir 30 Jun 2017 meningkat 36.36 peratus kepada RM11.51 bilion berbanding RM8.44 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Pada suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2017, pengurus dana persaraan terulung di Malaysia itu mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM11.79 bilion, melonjak 73.9 peratus berbanding RM6.78 bilion pada suku sama 2016.

Setakat 31 Disember 2016, KWSP mempunyai seramai 14.72 juta pencarum.

Sementara itu, Pengarah Jupiter Securities Sdn Bhd Nazarry Rosli berkata, KWSP mempunyai keupayaan untuk memberikan dividen yang lebih baik bagi 2017 sejajar dengan prestasi pasaran tempatan dan global yang kukuh dicatatkan tahun lalu.

Beliau percaya dengan strategi pelaburan merentasi pelbagai kelas aset dalam beberapa negara dan pasaran membuka peluang kepada KWSP untuk menjana pulangan yang lebih baik.

Malah, katanya, pengurus dana persaraan itu juga mempunyai rekod yang baik dalam menguruskan pelaburan bagi menjamin pulangan yang kompetitif setiap tahun kepada pencarumnya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor berkata, pihaknya berharap KWSP dapat memberikan dividen 2017 yang lebih tinggi berbanding 5.7 peratus yang diumumkan bagi 2016.

Beliau tidak menolak pengurus dana persaraan itu mampu memberikan dividen yang lebih tinggi berbanding agihan hibah yang diumumkan TH memandangkan pelaburan KWSP lebih meluas dan besar.

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2017, KWSP mencatatkan peningkatan pendapatan pelaburan sebanyak 5.13 peratus kepada RM12.95 bilion berbanding RM12.32 bilion.

Pada 2016, KWSP memberikan dividen 5.7 peratus, lebih rendah berbanding 6.40 peratus pada 2015 dan 6.75 peratus pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 3:28 AM