HM Digital

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) bekerjasama mewujudkan pautan dagangan pasaran saham antara Bursa Malaysia dan Bursa Singapura (SGX) akhir tahun ini.

Pengerusi SC Malaysia Tan Sri Ranjit Ajit Singh berkata, usaha itu membolehkan pelabur melakukan aktiviti dagangan saham masing-masing dalam pasaran saham itu secara mudah dan cekap kos.

“Pelabur runcit khususnya akan mendapat manfaat daripada pautan sedemikian. Inisiatif ini susulan usaha berterusan Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) bagi mengukuhkan kesalinghubungan kewangan merentasi pasaran modal rantau itu,” katanya pada Simposium Pasaran Modal Dunia 2018 di sini, semalam.


RANJIT

Ranjit yang juga Pengerusi ACMF berkata, pautan dua hala antara Bursa Malaysia dan SGX itu melangkaui dagangan dan merangkumi proses pasca dagangan seperti aspek penjelasan dan penyelesaian transaksi saham yang diniagakan.

Mengulas inisiatif strategik itu, beliau berkata, SC dan MAS akan mewujudkan mekanisme pengawalseliaan rentas sempadan dan penguatkuasaan selain bekerjasama dengan kedua-dua bursa itu bagi pengoperasian pautan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 8:52 AM