AADRIN Azly
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Berhad (PDB), Shieldcard Holdings Sdn Bhd (Shieldcard) dan Zurich General Insurance Malaysia Berhad (ZGIMB) menjalin kerjasama strategik dengan menawarkan faedah perlindungan Kemalangan Diri Mesra (PA) eksklusif untuk pemegang kad Mesra.

Faedah ini memberi ruang untuk penukaran mata ganjaran Mesra iaitu pemegang kad Mesra boleh menikmati Pelan PA Mesra dengan hanya RM1 iaitu hanya 100 mata ganjaran Mesra apabila berbelanja minimum RM100 sebulan di stesen Petronas seluruh negara.

Ketua Bahagian Perniagaan Runcit PDB Aadrin Azly berkata, perlindungan 24 jam seminggu di seluruh dunia itu memberikan pemegang kad manfaat Bayaran Hospital Harian RM50 sehari untuk maksimum 30 hari.

Katanya, bagi kes membabitkan kematian atau hilang upaya diri, pemegang kad Mesra yang terbabit kemalangan, keluarga dan waris terdekat layak menerima pampasan wang tunai sehingga RM25,000 dan meningkat sehingga RM50,000 sekiranya kejadian berlaku pada hari cuti am yang diwartakan kerajaan.

“Kerjasama ini adalah hasil pemerhatian kami terhadap keperluan pelanggan bagi meningkatkan faedah terhadap program kesetiaan dan ia termasuk perkara penting seperti perlindungan insurans.

“Melalui pembabitan kami dalam perniagaan yang menyediakan produk bahan api, keselamatan jalan raya adalah keutamaan kami.

“Kami berharap pelanggan mengambil kesempatan ini bagi membolehkan mereka mendapatkan perlindungan insurans kerana ia hanya RM1 sebulan,” katanya pada majlis menandatangani kerjasama antara PDB, Shieldcard dan ZGIMB di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Shieldcard Holdings Sdn Bhd Tunku Naquiyuddin Tuanku Jaafar dan Ketua Eksekutif ZGIMB David Fike.

Aadrin berkata, pemegang kad Mesra akan menerima SMS atau e-mel daripada Petronas memaklumkan mereka bakal menerima faedah yang ditawarkan itu.

“Pemegang kad yang ingin mendaftar Pelan PA Mesra akan dihubungkan dengan laman web khas bagi tujuan pendaftaran dan mereka yang mendaftar sebelum 28 Februari akan menerima faedah PA Mesra secara percuma pada bulan pertama,” katanya.

Sebagai tambahan, apabila mendaftar dengan pelan PA Mesra, pemegang kad Mesra secara automatik didaftarkan untuk program AXXESS secara percuma yang dapat membantu mengurangkan atau membayar secara penuh premium kenderaan motor tahunan pemegang kad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 7:51 AM