EUGENE (kiri) ketika pelancaran penjenamaan semula Ayer Holdings.
HM Digital

Kuala Lumpur: TAHPS Group Bhd yang dijenamakan semula sebagai Ayer Holdings Bhd menjangkakan permintaan hartanah akan memulih pada dalam separuh kedua tahun ini di atas sentimen domestik dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif, Eugene Khoo berkata, prestasi ekonomi negara berada pada landasan yang betul dan ini diterjemahkan kepada peningkatan dalam keyakinan pengguna dan seterusnya merangsang pembelian yang besar.

“Pasaran hartanah sedang bergerak ke arah penggabungan kerana terdapat banyak stok yang tidak terjual sebelum ini.

“Oleh itu, pemaju perlu bijak dalam melancarkan projek baru dengan mengambil kira permintaan untuk produk, lokasi dan harga yang bersesuaian,” katanya pada pelancaran penjenamaan semula Ayer Holdings di sini.

Melalui cabang hartanahnya Bukit Hitam Development Sdn Bhd, syarikat juga merancang untuk melancarkan rumah bertanah mampu milik serta pangsapuri di Bukit Puchong.

Eugene berkata, syarikat itu juga berhasrat untuk bekerjasama dengan pembekal penjagaan kesihatan termasuk pendidikan untuk bandar yang dibinanya.

Eugene ketika bercakap mengenai penjenamaan semula berkata, ia adalah satu langkah yang penting bagi memudahkan orang ramai mengenali syarikat berkenaan sebagai satu jenama hartanah kerana nama asalnya agak sukar disebut.

“Apabila kami mencecah usia 110 tahun sebagai sebuah perbadanan pada tahun lalu, kami memutuskan untuk membuat penjenamaan semula kepada jenama yang akan memudahkan pihak berkepentingan mengenalpasti serta bagi membezakan diri kami,” katanya.

Ayer adalah kumpulan hartanah yang mencatatkan rekod penghantaran yang sentiasa menepati jadual serta bajet, ia juga memiliki sejarah pertumbuhan yang kukuh dan stabil.

“Kami mahu orang tahu perkara. Jadi, kami memerlukan satu jenama untuk memberi isyarat kepada dunia bahawa kami adalah pemaju yang mempunyai reputasi, dipercayai dan mempunyai sejarah sejak dari 1907,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 12:24 AM