JOHARI (enam dari kiri), Noh (tujuh dari kiri) dan Yang Dipertua Presiden Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah & Pengurus Harta, Nordin Daharom (enam dari kanan) ketika majlis penyampaian sijil kepada pengurus harta berdaftar di Kuala Lumpur, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pembeli rumah pertama digalakkan untuk memohon Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) yang dibuka bermula 15 Disember 2017 sehingga 15 Februari ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, MyDeposit dilanjutkan bagi memberi peluang kepada orang ramai memiliki kediaman terutama mereka yang tidak mempunyai wang pendahuluan.

Katanya, setakat ini lebih kurang 3,000 pemohon sudah berdaftar dan 10,000 permohonan dibuka kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40).

Skim MyDeposit membantu golongan M40 yang berpendapatan isi rumah antara RM3,000 dan RM15,000 sebulan untuk memiliki kediaman sendiri.

“Kerajaan membantu dengan memberi sumbangan berupa geran 10 peratus daripada harga jualan atau maksimum RM30,000 (yang mana lebih rendah) kepada pembeli pertama bagi membantu mereka membeli rumah di bawah harga RM500,000 ke bawah.

“Sebelum mengemukan permohonan Skim MyDeposit, pemohon perlu mengenal pasti terlebih dahulu projek perumahan yang hendak dibeli kerana syaratnya bukan projek perumahan yang menerima subsidi daripada kerajaan sebagai contoh PR1MA, PPA1M, Rumawip, PPR, MyHom dan Rumah Mampu Milik Kerajaan Negeri,” katanya selepas pelancaran Daftar Pengurus Harta di sini, semalam.

Hadir merasmikan, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Noh berkata, skim MyDeposit itu diberikan kepada pembeli dan bukan kepada pemaju, oleh itu pemohon bebas memilih projek perumahan swasta yang menepati syarat pada harga kurang RM500,000.

“Pemohonan MyDeposit bagi 2018 boleh dibuat secara online dengan mengisi borang yang disediakan di laman web rasmi Sistem Pengurusan Rumah Negara (SPRN) atau https://sprn. kpkt.gov.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 2:01 AM