LIM (dua dari kiri) pada majlis pelancaran Residensi Bintang Bukit Jalil, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS Bina) melancarkan projek pembangunannya yang pertama tahun ini iaitu Residensi Bintang Bukit Jalil di Bandar Bukit Jalil dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM954.7 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Lim Hock San berkata, projek hartanah itu meliputi dua menara kondominium yang mempunyai kemudahan pusat pendidikan, sukan, hiburan dan rekreasi.

Beliau berkata, Residensi Bintang Bukit Jalil dibangunkan di kawasan seluas 2.21 hektar dengan menara utaranya mempunyai 47 tingkat manakala menara selatan 50 tingkat dengan keseluruhannya 1,342 unit.

“Perbandaran Bukit Jalil adalah pusat tumpuan strategik bagi kediaman seisi keluarga serta pembeli rumah daripada kalangan golongan muda.

“Kami yakin penawaran hartanah baru LBS Bina tahun ini memenuhi keperluan pembeli rumah moden sekali gus meningkatkan kadar pengambilan yang positif,” katanya selepas majlis pelancaran projek hartanah itu di sini, semalam.

Seunit rumah Residensi Bintang Bukit Jalil ditawarkan pada harga dari RM553,000 terdiri daripada tiga susun atur unik bermula daripada 805 hingga 1,209 kaki persegi.

Unit jenis A1 mempunyai dua bilik tidur dan dua bilik mandi manakala B dan C masing-masing dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi serta jenis C menyediakan unit lebih besar dengan laman dan bilik utiliti.

Lim berkata, pihaknya memberi perhatian kepada keperluan pembeli dengan menggabungkan kemudahan serba lengkap di bawah satu bumbung dengan lebih 90 fasiliti disediakan seperti gimnasium dan taman permainan.

Menurutnya, kawasan terbabit terletak berhampiran Pusat Beli-belah Bukit Jalil City dan Paradigm Garden City bagi memenuhi keperluan runcit dan komersial.

“Residensi Bintang Bukit Jalil boleh diakses melalui Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Lebuhraya Bukit Jalil, Lebuhraya Shah Alam (KESAS),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 1:58 AM