SWEE (kiri) melancarkan kempen What’s Your Love Letter, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perfect Food Manufacturing Sdn Bhd, pengeluar biskut tempatan Julie’s yakin mencapai perolehan jualan RM390 juta tahun ini bersandarkan kepada permintaan di dalam dan luar negara.

Pengurus Kanan Jualan Julie’s Malaysia Dennis Swee Jing Wei berkata, syarikatnya mencapai perolehan jualan RM330 juta tahun lalu dan berhasrat mencapai RM500 juta menjelang 2020.

Beliau berkata, kehadiran jenama Julie’s selama 35 tahun di pasaran menjadikan ia pilihan ramai dengan tiga produk utamanya iaitu biskut Love Letters, mentega kacang dan lemon.

“Tahun ini kami merancang pelbagai aktiviti serta kempen bersama pelanggan dalam merealisasikan sasaran ini,” katanya selepas pelancaran kempen Julie’s What’s Your Love Letter sempena Tahun Baru Cina di sini, semalam.

Kempen bermula 8 Januari hingga 11 Februari depan menawarkan rantai tangan emas 24K kepada 50 pelanggan bertuah yang menghantar mesej menggunakan Love Note yang boleh didapati melalui pembelian dua tin biskut Julie’s Love Letters 700 gram.

Swee berkata, kira-kira 55 peratus daripada jualannya adalah sumbangan pasaran antarabangsa manakala selebihnya domestik.

Menurutnya, pihaknya mengeksport rangkaian biskut jenama Julie’s di lebih 80 negara bagi negara Asia Tenggara, Asia dan Asia Barat serta berhasrat mengembangkan eksport ke 100 negara pada 2020.

“Tahun ini, kami berharap dapat menembusi eksport ke lima negara di Eropah dan Afrika yang memberi maklum balas positif terhadap biskut kami.

“Pasaran di Asean mendominasi jualan diikuti negara seperti Jepun, China dan Korea. Bergerak ke hadapan kami akan fokus kepada Asia Barat,” katanya.

Bagi menampung pengeluaran biskut untuk pasaran dalam dan luar negara, syarikat kini mempunyai empat kilang biskut di Alor Gajah, Melaka yang dilengkapi teknologi terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 1:56 AM