GALERI jualan di Pulau Satu, Forest City, Iskandar Malaysia.
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my

Johor Bahru: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Iskandar Malaysia (DPPIM) menyasarkan jumlah pelaburan melebihi RM200 juta sepanjang tahun ini hasil usahasama dengan beberapa syarikat pengeluar makanan, pelancongan, pembuatan dan pertanian dari Jepun.

Timbalan Presidennya Norizam Tukiman berkata, sasaran itu dilihat boleh dicapai selepas pihaknya berjaya membawa masuk nilai pelaburan melebihi RM50 juta dari usahawan negara berkenaan sepanjang tahun lalu.

“Ramai usahawan Jepun akui pembangunan pesat Iskandar Malaysia yang kini menjadi tumpuan pelbagai syarikat gergasi seluruh dunia dan mereka (usahawan Jepun) tidak mahu ketinggalan untuk mengambil peluang perniagaan yang ada.

“Selain itu, kedudukan Johor di tengah rantau Asia Tenggara memudahkan mereka untuk bertapak di sini dan mengembangkan perniagaan masing-masing dengan melantik rakan niaga tempatan, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat negara ini.

“Sama seperti era 1990-an di mana banyak kilang Jepun yang dibuka dan menggunakan majoriti tenaga kerja tempatan serta memindahkan teknologi ke Malaysia, mereka mahu mengulangi trend itu menerusi beberapa perniagaan yang dilihat boleh membawa keuntungan kepada kedua-dua pihak,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-8 DPPIM, di sini.

Hadir sama, Presiden DPPIM Md Salikon Sarpin dan Pemilik JJ Bright Consultant Pte Ltd Kido Keisuke yang menjadi tetamu khas memberikan tip berurusan dengan syarikat Jepun.

Norizam berkata, DPPIM menyasarkan 20 padanan perniagaan selama lima tahun bermula 2015 hingga 2020 dan berakhir 2017, mereka mempunyai lapan padanan membabitkan makanan halal, pelancongan, pembuatan dan pertanian.

Katanya, tempoh dua tahun ini akan digunakan sepenuhnya untuk memenuhi sasaran itu dan banyak syarikat Jepun kini berminat mengeksport produk mereka ke Malaysia.

“Berikutan itu, kami bekerjasama erat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) untuk meninjau produk makanan halal dan boleh dibawa ke Malaysia dan dipasarkan ke negara lain.

“Malaysia yang terkenal sebagai hab makanan Halal menjadi pilihan utama pelbagai syarikat Jepun dan tidak mustahil mereka akan membuka kilang memproses ramen di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 1:05 AM