ONG (kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah Kumpulan Ong Ju Xing melancarkan Kempen 20188 Zero Entry, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Petaling Jaya: OSK Property Holdings Berhad (OSK Property) menerusi Kempen 20188 Zero Entry bakal memberi peluang kepada orang ramai memiliki rumah tanpa perlu menyediakan bayaran pendahuluan serta berpeluang memenangi tunai sehingga RM20,188.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ong Ghee Bin berkata, kempen yang menawarkan sifar peratus wang pendahuluan bagi pembelian rumah itu berlangsung bermula 1 Januari hingga 31 Mac depan untuk semua 12 projek hartanah OSK Porperty
di seluruh negara.

Beliau berkata, kempen itu menyediakan yuran guaman percuma bagi perjanjian penjualan dan pembelian (SPA) serta pinjaman
di samping percuma setem duti pinjaman.

“Melalui beberapa interaksi bersama pelanggan dan orang ramai, kami menyedari cabaran utama kepada pembeli rumah masa kini adalah kos pendahuluan yang tinggi.

“Kami berharap dengan kempen yang dilaksanakan ini membantu menjadi platform bagi pemilikan rumah dan pelaburan mudah dengan pelbagai program yang bersesuaian dengan pembeli,” katanya pada majlis pelancaran kempen 20188 Zero Entry di sini, semalam.

Kempen yang dijalankan selama tiga bulan itu pada masa sama menawarkan skim dan pelan pelaburan seperti Pelan Pelaburan Bijak, Pakej Perabot Kediaman, cabutan bertuah dan rebat tunai, skim rujukan dan pinjaman pemaju.

Dalam tempoh kempen itu berlangsung, seramai 18 pembeli rumah bertuah akan mendapat hadiah tunai berjumlah RM20,188 seorang.

Ong berkata, antara projek yang termasuk dalam kempen ini adalah Ryan & Miho, Windmill Upon Hills, Timur Bay dan Luminari Harbour Placeyang kini dibangunkan syarikat.

“Bagi projek yang sudah siap sepenuhnya termasuk Eclipse Residence dan Mirage by the Lake di Cyberjaya, USJ one (Subang Jaya), Woodsbury (Butterworth), D’Majestic (Kuala Lumpur) dan Gravitas (Shah Alam).

“Bagi kategori perbandaran pula membabitkan Bandar Puteri Jaya di Sungai Petani dengan projek Louvre I & II Special untuk Louvre Residence, Rosela dan Fairfield Villas serta perbandaran Iringan Bayu (Seremban),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 1:03 AM