VIVEK Vaidya
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Frost & Sullivan mengunjurkan jualan kenderaan di Malaysia akan mencapai 601,000 unit tahun ini dengan kadar pertumbuhan 2.0 peratus berbanding 589,209 unit tahun lalu.

Ekonomi Malaysia yang dijangka positif bagi 2018 turut meningkatkan keyakinan konsumer sepanjang tahun ini.

Naib Presiden Kanan Mobiliti Frost & Sullivan, Vivek Vaidya berkata, pengukuhan ringgit juga membantu menstabilkan harga tahun ini, sekali gus mengurangkan kos import komponen dan model import sepenuhnya (CBU).

“Pelancaran Perodua Myvi dan beberapa model utama pada separuh kedua tahun lalu serta pelancaran model Toyota CH-R tahun ini turut menjadi pemacu kepada jualan 2018.

“Faktor lain seperti penambahbaikan Dasar Automotif Negara (DAN) dan infrastruktur pengangkutan awam termasuk pertumbuhan perkhidmatan perkongsian kenderaan akan memberi kesan jangka panjang, tetapi tidak mempengaruhi pasaran 2018,” katanya di taklimat media di sini, semalam.

Menurutnya, langkah berterusan Bank Negara Malaysia (BNM) meningkatkan kualiti pinjaman berkemungkinan menyukarkan keluarga berpendapatan rendah, pembeli muda serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperoleh pembiayaan kenderaan.

Vivek berkata, bagi pencapaian 2017, permintaan pasaran automotif Malaysia mencatat pertumbuhan 1.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Tahun lalu, jualan kenderaan penumpang mencecah 526,603 unit daripada keseluruhan TIV iaitu 589,209 unit, meningkat 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, Perodua menerajui segmen kenderaan penumpang dengan penguasaan 40.1 peratus, diikuti Honda (21.1 peratus) dan Proton (13.6 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 12:53 AM