Pesawat A350-900 bakal tiba di Malaysia Disember ini. (Gambar kecil) van der Heijdem. FOTO ihsan Airbus
Yusri Abdul Malek
yusrimalek@hmetro.com.my


AIRBUS adalah pembekal utama pesawat penumpang ke Malaysia dengan jumlah tempahan sebanyak 713 pesawat.

Malaysia adalah pasaran ketiga terbesar Airbus di rantau Asia Pasifik selepas China dan India.

Hubungan Airbus dan Malaysia bermula Ogos 1978 apabila Penerbangan Malaysia membuat pesanan pertamanya, A300B4. Ini juga menjadikan Malaysia pelanggan terawal membeli pesawat dari syarikat berpengkalan di Eropah itu.

Kini, Penerbangan Malaysia memiliki 15 pesawat penumpang A330-300 dan tiga pesawat kargo A330-200F yang beroperasi di bawah MASkargo.

Penerbangan Malaysia juga memiliki enam pesawat terbesar A380 yang digunakan untuk penerbangan tanpa henti ke London.

Terbaru, enam pesawat A350-900 yang berbadan lebar yang dipajak dari Air Lease Corporation (ALC) akan tiba di tanah air Disember ini hingga Jun tahun depan.

Malah syarikat tambang murah AirAsia juga adalah pelanggan terbesar Airbus untuk pesawat A321neo yang ditempah pada Farnborough Airshow 2016.

Tempahan itu menjadikan jumlah pesawat dalam keluarga A320 AirAsia bertambah kepada 578.

Naib Presiden Pemasaran Airbus Asia dan Amerika Utara, Joost van der Heijdem berkata, Malaysia adalah rakan kongsi industri penting bagi Airbus di rantau Asia dengan pembekal bekerjasama dengan pelbagai program pesawat.

Katanya, setiap pesawat Airbus yang ada di seluruh dunia hari ini memiliki bahagian atau komponen yang dibuat di Malaysia.

"Sehingga kini terdapat 12 syarikat pembekal komponen atau bahagian di Malaysia termasuk CTRM, Spirit Aerospace dan SME Aerospace.

"Pembabitan syarikat ini mewujudkan 4,000 peluang pekerjaan untuk warga tempatan dan menyumbang lebih RM1.2 bilion setahun kepada ekonomi Malaysia," katanya ketika ditemui wartawan Malaysia yang mengikuti lawatan ke kilang Airbus di Toulouse, Perancis.

Katanya, sumbangan Airbus dalam ekonomi Malaysia juga dijangka meningkat 25 peratus daripada sedia ada kepada RM1.5 bilion menjelang 2021.

Selain pesawat komersial, Airbus juga membekal empat pesawat A400M untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 3:45 PM