Barisan hadapan, tiga dari kanan Stephan bersama wakil media dari rantau Asia Pasifik.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my


Phuket: Kaspersky Lab (Kaspersky), syarikat keselamatan siber dan penyedia antivirus global terus memberi tumpuan kepada pasaran Asia Pasifik termasuk Malaysia memandangkan terdapat potensi besar kepada syarikat itu menerokai pasaran baru membangun di rantau berkenaan.

Malah, kejadian serangan siber terbesar yang berlaku pada tahun ini, WannaCry menunjukkan kejadian serangan digital itu memerlukan kesedaran yang tinggi daripada pengguna terutama di pasaran baru membangun bagi melindungi data peribadi mereka daripada diceroboh.

Pengarah Urusan Asia Pasifik Kaspersky Lab Stephan Neumeier berkata, Malaysia antara negara di rantau Asia Pasifik yang masih kurang kesedaran dari segi keselamatan siber dalam kalangan pengguna dan pihaknya giat menjalankan aktiviti keselamatan berkenaan.

Beliau berkata, dari segi perniagaan rantau Asia Pasifik, negara terbabit mempunyai potensi besar untuk diterokai dan penting bagi Kaspersky untuk terus memperkenalkan produk perlindungan keselamatan siber terutama pada era kewangan digital ketika ini.

“Buat masa ini, semua peranti elektronik mempunyai sambungan terus dengan Internet atau dikenali sebagai IoT. Perkara ini sememangnya memberi kemudahan kepada konsumer, tetapi dalam masa yang sama ia juga memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab menceroboh data pengguna terutama membabitkan kewangan.

“Malah, saya juga percaya angka pencerobohan maklumat menerusi siber juga mampu meningkat dari tahun ke tahun memandangkan semua perkara termasuk berkaitan institusi kewangan sudah berkait rapat dengan platform digital,” katanya kepada Bisnes Metro selepas Persidangan Keselamatan Siber (KLACSW) di sini, semalam.

KLACSW acara tahunan dianjurkan Kapersky bagi memberi pendedahan kepada media mengenai aktiviti :serangan siber yang berlaku di rantau Asia Pasifik termasuk serangan siber yang dilakukan penganas.

Persidangan yang dihadiri 26 media dari 11 negara Asia Pasifik itu juga membentangkan isu serangan siber di institusi kewangan di rantau berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penguasaan pasarannya di Asia Pasifik, Stephan berkata, setakat tahun lalu syarikatnya mencatatkan sekitar 10 peratus dan ia dijangka meningkat memandangkan pada suku ketiga lalu, Kaspersky merekodkan 14 peratus penguasaan pasaran di rantau berkenaan.

Tambahan, syarikat itu turut melihat rantau Asia Pasifik sebagai pasaran penting untuk Kaspersky berkembang memandangkan terdapat populasi pengguna yang ramai meskipun terdapat perbezaan geopolitik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 7:31 AM