DR Maximus (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman di antara Azmi (dua dari kiri) dan Dr Mohd Azman pada IGEM 2017, semalam.
HM Digital

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech) mengumumkan kerjasama lima tahun dalam menerajui pembangunan pengangkutan awam dan kemajuan teknologi hijau di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, jalinan strategik itu bakal membuka jalan bagi Prasarana dan GreenTech untuk merancang dan bekerjasama dalam mengubah perkhidmatan pengangkutan awam negara dengan cara yang mampan.

“Kami melihat usaha sama dengan GreenTech berupaya untuk meletakkan Prasarana sebagai contoh utama organisasi yang berjaya dalam transformasi hijau di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan bersempena dengan acara Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko (IGEM 2017) di sini, semalam.

Majlis pertukaran perjanjian itu diadakan selepas majlis perasmian dan pelancaran IGEM 2017 yang disempurnakan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Turut hadir bagi menandatangani perjanjian berkenaan adalah Azmi bagi pihak Prasarana manakala GreenTech diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohd Azman Zainul Abidin.

Usaha berkenaan juga selari dengan strategi dan operasi Prasarana dalam menyokong Agenda Hijau Kebangsaan untuk mengurangkan kira-kira 45 peratus pelepasan karbon menjelang 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 7:11 AM