AZMAN
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia berada di landasan tepat untuk menarik pelaburan bernilai RM25 bilion menerusi Strategi Biomas Nasional 2020 (NBS 2020).

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud berkata, Malaysia membangun sebagai destinasi menarik bagi pelaburan berasaskan biomas.

Beliau berkata, kepentingan tenaga boleh diperbaharui ditekankan dalam polisi hijau kebanyakan negara seperti Korea, Jepun dan China.

“Kami optimis jumlah pelaburan NBS 2020 dapat dicapai dan 226 projek biomas dengan pelaburan bernilai RM2.92 bilion diluluskan MIDA dari 2011 hingga 2016.

“Sebagai negara yang kaya dengan sumber asli, Malaysia memiliki peluang besar untuk pelaburan berasaskan biomas berkembang maju,” katanya pada taklimat media Persidangan Biomas Antarabangsa Malaysia 2017 (IBCM 2017), di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia (AIM) Naser Jaafar.

AIM adalah penganjur utama IBCM 2017 dengan kerjasama MIDA dan Unit Perancang Negeri Sarawak (SPU). Persidangan itu diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak pada 19 hingga 20 Oktober.

Naser berkata, Sarawak dan Sabah menjadi negeri terpenting dalam sektor biomas dengan Sarawak saja berpotensi menjana pendapatan negara kasar RM4.8 bilion.

“Selain itu, ia bakal mewujudkan 30,000 pekerjaan baru dan peluang pelaburan RM18 bilion di seluruh rantaian nilai bio-ekonomi dengan menggunakan enam juta tan sisa biomas iaitu sebahagian kecil daripada sumber biomasnya,” katanya.

IBCM 2017 akan menampilkan 34 ahli panel yang mempunyai kepakaran dalam bidang ekonomi biomas dari seluruh dunia manakala bagi peluang serantau, peserta boleh menyertai bengkel diadakan pakar dan penggubal dasar.

Bagi peluang baru di Korea, Simposium Tenaga Korea akan dibentangkan oleh wakil daripada syarikat tenaga, teknologi dan penyedia perkhidmatan sektor tenaga Korea.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran boleh melayari http://ibcm.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 8:38 AM