O’DELL (kanan) dan Ketua Pegawai Permasaran dan Harga Gho Han Jaa melancarkan portal ManulifeNow.com.my.
HM Digital

Kuala Lumpur: Manulife Insurance Berhad (Manulife Malaysia) memperkenalkan portal ManulifeNow.com.my selaras dengan usahanya untuk meningkatkan kadar langganan insurans menerusi segmen digital.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark O’Dell berkata, inisiatif platform dalam talian itu juga bagi memberikan perkhidmatan dan pengalaman langganan insurans yang lebih mesra dan mudah kepada orang ramai.

Beliau berkata, pelancaran itu membuktikan Manulife Malaysia berada selari dengan pihak industri yang berhasrat meningkatkan kadar penembusan langganan insurans di Malaysia dengan menjadikan prosedur lebih mudah dan mampu milik.

“Kini kebanyakan penduduk Malaysia aktif bagi dunia dalam talian dan kami melihat ia adalah potensi bagi platform baru serba digital ini untuk menawarkan perkhidmatan terbaik, mudah dan pantas kepada pelanggan,” katanya pada majlis pelancaran ManulifeNow.com.my di sini, semalam.

ManulifeNow.com.my adalah portal pembelian insurans secara dalam talian yang hanya memerlukan orang ramai menjawab lima soalan mudah tanpa menjalani pemeriksaan perubatan dan pembelian akan lengkap dengan kadar segera.

Beliau berkata, setakat ini, portal berkenaan menawarkan ManuProtect, produk dengan harga kompetitif sebanyak 15 sen setiap hari dengan perlindungan minimum berjumlah RM50,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 9:13 AM