ANWAR (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Pembangunan, Datuk Roslan Ibrahim (dua dari kiri), Ketua Pegawai Kewangan, Mohamed Rastam Shahrom (kanan) dan Ketua Pegawai Pemasaran, Pam Loh pada pelancaran Residensi Solaris Parq di Kuala Lumpur, semalam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise), pemaju hartanah terkemuka tempatan optimis mampu mencapai sasaran jualan RM1.2 bilion menjelang hujung tahun ini berdasarkan pencapaian jualan 70 peratus daripada sasaran ditetapkan pada masa ini.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, prestasi jualan positif itu disumbang melalui peningkatan kadar kelulusan pinjaman rumah dan pelaksanaan inisiatif termasuk pelbagai tawaran dan penganjuran kempen menarik kepada bakal pembeli.

“Selain itu, prestasi jualan ini turut dipacu melalui kedudukan projek pembangunan syarikat yang terletak di kawasan utama dan strategik,” katanya pada pelancaran Residensi Solaris Parq, di sini, semalam.

Menurutnya, projek syarikat itu, kebanyakannya di kawasan utama, turut membantu meningkatkan jumlah jualan kumpulan berkenaan.

“Sebagai contoh, kami turut menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pembeli selepas pelancaran awal Residensi Solaris Parq pada hujung minggu lalu.

“Oleh itu, kami yakin dapat mencapai sasaran pembelian sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Solaris Parq dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3 bilion itu turut membabitkan fasa pertama yang merangkumi dua menara dengan nilai pembangunan kasarnya sebanyak RM755 juta.

Kerja pemasangan cerucuk Residensi Solaris Parq dijangka bermula minggu depan dan projek itu dijangka siap pada 2022.

Sementara itu, menurutnya, UEM Sunrise memiliki tanah simpanan 5,343.02 hektar dengan GDV RM132.9 bilion.

“Kami juga dalam proses mempertimbangkan sebidang tanah di Lembah Klang yang diharap dapat dibeli menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 3:43 AM