ORANG ramai membeli pelbagai produk yang dijual usahawan pada Karnival Usahawan RISDA Negeri Selangor 2016 (RISDApreneurs) di pekarangan AEON Mall, Shah Alam.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berhasrat untuk memberi tumpuan kepada aktiviti eksport kepada 12,000 usahawannya yang terbabit dalam pelbagai industri berpotensi tinggi untuk menembusi pasaran asing.

Keseluruhan usahawan RISDA ketika ini terbabit dalam pelbagai sektor perniagaan antaranya peruncitan, makanan dan minuman, produk halal dan produk bukan pertanian iaitu fesyen.

Pengerusinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, setakat ini daripada 12,000 usahawan RISDA dengan 2,000 daripadanya sudah menerokai pasaran asing.

Beliau berkata, sektor produk halal menjadi tumpuan RISDA memandangkan industri halal global masih luas untuk diterokai dan mendapat permintaan tinggi di pasaran asing.

“Kami berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mendapatkan logo Produk Ummah iaitu bagi menunjukkan produk yang dikeluarkan adalah keluaran orang Islam.

“Logo ini juga bagi membantu usahawan kita yang beragama Islam yang sukar mendapatkan logo halal. Selain itu, ia juga diguna pakai untuk pasaran asing kelak,” katanya, di sini.

RISDA juga pada tahun ini memberi tumpuan kepada beberapa sektor perniagaan baru kepada usahawannya iaitu perniagaan beras, gula, minyak masak, landskap dan fesyen.

Zahidi berkata, bagi perniagaan gula, beras dan minyak masak pihaknya sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan untuk mengimportnya pada harga lebih murah dan seterusnya dapat dijual kepada pekebun kecil dengan harga lebih rendah. Seterusnya, RISDA dapat mewujudkan peniaga runcit dalam kalangan pekebun kecil.

“Kita juga memberi tumpuan dalam sektor landskap iaitu ketika ini RISDA ingin memohon kepada kerajaan tempatan untuk menyediakan tanah bagi membantu siswazah dari Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dalam bidang itu membina pengalaman sebagai usahawaan.

“Bagi golongan pekebun kecil yang berminat dalam sektor fesyen, kita juga melatih mereka sehingga mampu membuka kedai jahitan atau pakaian. RISDA juga menjadi pembekal kain yang dijual pada harga berpatutan kepada usahawan yang terbabit dalam bidang ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 10:14 AM