LIM (tengah) bersama rakan kongsi pada majlis pembukaan cawangan Grand Senheng di Bandar Prima Senawang, semalam.
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

Seremban: Senheng Electric Sdn Bhd (Senheng), rangkaian kedai elektronik terkemuka membuka cawangan Grand Senheng yang ketiga di Bandar Prima Senawang (BPS), di sini, dalam usaha memperkukuhkan sayap perniagaannya.

Pengarah Urusannya Lim Kim Heng berkata, meskipun pasaran berdepan detik sukar dan pengguna berhati-hati membelanjakan wang, syarikat percaya ia peluang terbaik untuk melangkah ke hadapan.

Katanya, sebagai kedai terkemuka di negara ini dengan penguasaan pasaran 15 peratus, Senheng mencari idea dan membuat pembaharuan untuk memantap serta mengukuhkan nama kumpulan dalam industri ini.

“Pembukaan cawangan Grand Senheng terbaru di Senawang lebih luas daripada format kedai biasa untuk keselesaan pelanggan. Malah, kepelbagaian barangan elektrik dan elektronik menawarkan pilihan kepada pengguna.

“Cawangan baru ini membuktikan kesungguhan dan keyakinan kami bergerak ke hadapan bagi memantapkan syarikat selain memenuhi keperluan pengguna.

“Kami gembira dapat memberikan nilai hebat serta pengalaman membeli-belah yang berharga kepada pelanggan dan berharap ia mampu memenuhi keperluan pengguna di kawasan sekitar,” katanya selepas merasmikan Cawangan Grand Senheng di BPS, semalam.

Hadir sama rakan kongsi syarikat seperti Samsung, Panasonic, Sharp, Sony, LG, Electrolux, Toshiba, Hitachi, Pensonic, Beko, AIG dan AEON.

Lim berkata, sempena pembukaan rasmi dan ulang tahun Senheng ke-28, pihaknya menawarkan 1,000 produk elektrik terpilih dan berkualiti kepada pengguna pada harga RM10 seunit.

Beliau berkata, pihaknya turut menawarkan penjimatan sehingga 70 peratus, pemberian baucar, pembelian satu percuma satu, diskaun baucar tunai RM50 dengan tebusan mata ganjaran kad kredit dan pelan ansuran tanpa faedah sehingga 36 bulan.

Menurutnya, sempena sambutan ulang tahun Senheng, pihaknya melancarkan kempen Seamless 4U sehingga November ini yang menawarkan nilai tambah.

“Model perniagaan terbaru ini meletakkan Senheng pada posisi terbaik sebagai perintis dalam perniagaan pengguna alat perkakas dan elektronik.

“Sejajar kewujudan kedai dalam talian yang semakin meningkat, syarikat berusaha menjadi kedai dalam talian terbesar di Malaysia kerana ia diyakini mampu menarik ramai pengguna terutama remaja dengan jaminan penghantaran dalam 48 jam saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 9:59 AM