AHMAD@Salim (lima dari kiri) dan Zulkarnain (empat dari kiri) bersama penaja yang akan memeriahkan Pameran Hartanah MyRumah 2017.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pameran Hartanah MyRumah 2017 anjuran The New Straits Times Press Bhd (M) Bhd (NSTP) yang menampilkan sembilan pemaju hartanah terkemuka di wilayah utara tanah air memberikan pilihan kepada pengunjung sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Perlis untuk memiliki hartanah.

Pengurus Besar Pelaksanaan Jualan Pengiklanan NSTP, Zulkarnain Abd Talib berkata, pameran hartanah itu bakal berlangsung di pusat beli-belah Aman Central, Alor Setar kerana potensinya sebagai pusat tumpuan orang ramai khususnya pada hujung minggu.

Beliau berkata, pada penganjuran siri ketiga itu, pihaknya membawakan pemaju hartanah berpotensi tinggi yang menawarkan hartanah kediaman dan komersial kepada bakal pembeli dari pelbagai latar belakang.

“Kami yakin pameran MyRumah di Kedah bakal mendapat sambutan daripada penduduk di utara dengan sasaran sekitar 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari ia berlangsung bermula 4 hingga 6 Ogos ini.

“Sektor hartanah adalah bidang ekonomi yang paling pesat membangun di wilayah utara tanah air dan dengan kehadiran pemaju yang menawarkan rumah mampu milik sebagai pelaburan, ia menguntungkan pembeli,” katanya pada sidang media MyRumah, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Ahmad @ Salim Bachok dan Pengurus Operasi Lepro System Bhd (Lepro), Chern Chin Yee.

Antara pemaju hartanah yang terbabit termasuklah Aman Setia Group, Bina Darulaman Berhad, Belleview Group, Irama Jaya Group, Oriental Interest Group, OSK Property Group, Paramount Properties, Sunsuria Berhad dan SPNB Aspirasi Sdn Bhd.

Zulkarnain berkata, selain pemaju, ada sembilan pempamer lain yang turut bersama-sama dalam pameran hartanah itu seperti Amanah Raya, Aman Central, Bank Muamalat, Grab Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lepro dan NSTP.

“Dengan kehadiran pempamer dari pelbagai sektor ini, ia dijangka melengkapi pameran hartanah ini meliputi segmen perbankan dan kewangan yang membantu pengunjung,” katanya.

Sepanjang ia berlangsung, 30 penceramah dan pakar hartanah akan menyampaikan taklimat serta menyertai forum pameran seperti Naib Presiden Kanan Kumpulan Aladdin, Datuk Seri Dr Vincent Tiew dan pengasas Hartanahguru.com, Abdul Aziz Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 2:39 AM