SPNB guna teknologi AGIBS untuk rumah teres generasi baru FELDA.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Kerajaan menerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) komited memberi manfaat kepada generasi baru Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), dengan membangunkan 20,000 unit kediaman di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Projek kediaman itu yang dikenali sebagai Rumah Generasi Baharu FELDA menyasarkan Terengganu sebagai negeri perintis sebelum meluaskannya ke negeri lain di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali berkata, kediaman generasi baru FELDA itu berkonsepkan rumah teres dengan jangkaan harga jualan sama seperti Projek Rumah Mesra Rakyat iaitu di bawah RM65,000 seunit.

Beliau berkata, projek pembangunan Rumah Generasi Baharu FELDA adalah kerjasama strategik antara SPNB dan FELDA pada April lalu, sekali gus ia menambah jumlah komitmen SPNB yang perlu menyiapkan 100,000 unit kediaman rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Rumah Generasi Baharu FELDA ini masih di peringkat akhir untuk dimuktamadkan pelaksanaannya dan kita bekerjasama rapat dengan FELDA serta mendapatkan sokongan daripada Kementerian Kewangan. SPNB jangkakan projek ini dapat dilaksanakan pada suku keempat tahun ini.

“Dari segi komitmen SPNB menyiapkan 100,000 kediaman mampu milik yang diumumkan kerajaan pada PRU yang lalu, kita sudah menyiapkan 36,000 unit dan 14,000 unit dalam proses pembinaan. Selebihnya bakal dibangunkan pada jangka masa terdekat,” katanya pada majlis menandatangani kerjasama SPNB dan Ajiya Bhd (Ajiya) di sini, semalam.

Melalui kerjasama berkenaan, Ajiya sebagai penyedia rumusan pembinaan kediaman yang menggunakan teknologi rumusan pembinaan bersepadu hijau Ajiya (AGIBS) bakal digunakan SPNB dalam projek kediaman yang dibangunkannya.

Menerusi pengunaan rumusan itu, pemaju dapat menjimatkan kos dan masa operasi berbanding kaedah pembinaan tradisional yang kebiasaannya mengambil masa sehingga 24 bulan.

Namun, dengan menggunakan teknologi AGIBS, ia mampu menawarkan tempoh pembinaan kediaman yang lebih cepat sehingga lapan bulan.

Azizi berkata, kerjasama SPNB dengan Ajiya membantu mempercepatkan proses pembinaan kediaman yang dibangunkan dan pada masa ini, SPNB masih belum memutuskan penggunaan AGIBS bagi projek kediamannya.

“SPNB sememangnya menggunakan kaedah sistem binaan industri (IBS) dalam projek yang dilaksanakan. Rumusan yang dimiliki Ajiya ini boleh membantu meningkatkan lagi penggunaan teknologi pembinaan kediaman kami.

“Malah, AGIBS terbukti berkesan menerusi pembinaan projek kediaman terdahulu. Perkara paling utama ialah mereka mempunyai logistik di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 4:30 AM