MODEL CR-V baru dijuruterakan semula sepenuhnya.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) menyasarkan jualan 700 unit sebulan bagi model kenderaan terkininya, CR-V Serba Baru yang dijuruterakan semula sepenuhnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Katsuto Hayashi berkata, CRV generasi kelima itu menawarkan rangkaian ciri baru yang komprehensif daripada aspek luaran, dalaman, rangkaian kuasa dan teknologi keselamatan tercanggih.

Menurutnya, ia dilengkapi teknologi termaju iaitu Honda Sensing dan enjin 1.5L VTEC Turbocharged yang akan menjadi penanda aras baru untuk segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) di Malaysia.

“Kami yakin model ini membantu syarikat mencapai sasaran jualan 100,000 unit menjelang hujung tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran Honda CR-V Serba Baru, di sini, semalam.

Sehingga kini, 68,000 unit Honda CR-V berjaya dijual di seluruh negara dengan generasi keempat yang dilancarkan pada 2013 mencatatkan jualan tertinggi iaitu 30,000 unit sehingga Jun lalu, sekali gus menjadikan ia sebagai SUV paling laris dalam segmennya.

Sebanyak empat varian ditawarkan bagi CR-V Serba Baru iaitu 2.0L 2WD yang ditawarkan pada harga RM142,400, 1.5L Turbocharged 2WD (RM155,700), 1.5L Turbocharged 4WD (RM161,600) dan 1.5L Turbocharged Premium 2WD (RM167,700).

Naib Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Akhbar Danial berkata, syarikat itu berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan kenderaan tahun ini berdasarkan jualan 52,000 unit yang dicatatkan sehingga Jun lalu.

Menurutnya, Honda City adalah model paling laris dijual dengan menyumbang 30 peratus kepada jualan keseluruhan syarikat diikuti BR-V dan Jazz .

“Kami optimis mencapai sasaran 100,000 unit pada tahun ini melalui model terbabit dan dua model baru lagi yang bakal dilancarkan tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 11:08 AM