MA iktiraf peranan golongan wanita dalam syarikat.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Hangzhou, China: Kepintaran dan buatan golongan wanita dilihat sebagai pemacu utama dalam menerajui pengurusan sesebuah organisasi mahupun syarikat dalam tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang.

Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma berkata, kaum wanita mempunyai kelebihan dari segi tumpuan dan perhatian terhadap setiap butiran dalam sesuatu perkara menjadikan perniagaan dapat dijalankan dengan lebih cekap.

Beliau berkata, keupayaan itu menjadikan ciri-ciri yang dimiliki golongan terbabit melebihi lelaki pada era kebangkitan robotik dan penggunaan perkakasan mesin besar.

“Jika dilihat dari sejarah turun naik kegemilangan Alibaba Group sejak 18 tahun lalu, golongan wanita adalah sebahagian daripada mereka yang bersama-sama membangunkan jenama ini sehingga berada pada tahap ini.

“Jadi ia adalah pilihan tepat memberikan wanita peluang terbaik dalam sektor pekerjaan kerana mereka mempunyai potensi dalam pengurusan perniagaan di samping perkembangan dalam teknologi seperti kepintaran buatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Kemuncak Wanita dan Keusahawanan atau turut dikenali sebagai SHE.ERA yang berlangsung di Pusat Ekspo Antarabangsa Hangzhou, China selama sehari, di sini, semalam.

Antara nama besar yang hadir pada acara berprestij itu ialah Presiden Alibaba Pictures, Wei Zhang; Menteri Perniagaan Kecil dan Pelancongan Kanada, Bardish Chagger; Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lakshmi Puri dan Pereka Fesyen Antarabangsa, Vera Wang.

Menyedari kepentingan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan, Ma berkata, Alibaba Group sebagai syarikat e-dagang terbesar dunia aktif dalam mempertingkat kehadiran golongan terbabit dalan sektor ini.

Katanya, ketika ini 47 peratus kakitangan Alibaba Group adalah kaum wanita yang bersama-sama membangunkan perniagaan kumpulan ke arah pertumbuhan lebih mampan.

“Malah kami turut mengambil peluang menerusi persidangan untuk mempromosikan keusahawanan wanita dan mempamerkan kelebihan kumpulan ini.

“Selain itu, lebih satu pertiga daripada pengasas syarikat adalah wanita dengan peratusan sama memainkan peranan pengurusan kanan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, separuh daripada pedagang di platform Tmall dan Taobao adalah wanita, sekali gus membuktikan mereka ialah usahawan mempunyai potensi cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 4:11 AM