NORAZURA memeriksa pakaian yang dipamerkan di Gondola31.
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


Kajang: Gondola31 Sdn Bhd akan melebarkan sayap ke pasaran di London dalam masa terdekat bagi menawarkan rekaan fesyen tempatan di kota berkenaan.

Pengasasnya, Norazura Md Posdzi berkata, pihaknya bekerjasama dengan komuniti Islam di bandar berkenaan khususnya dalam kalangan pelajar dan akan mengetengahkan konsep sama seperti cawangan di Malaysia.

“Ini adalah cawangan ketiga di bawah kendalian kami dan ia dijangka memulakan operasi sebelum hujung tahun ini dengan menampilkan 20 jenama tempatan,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini.

Gondola31 adalah butik vendor yang menampilkan pelbagai jenama di bawah satu bumbung dengan koleksi terdiri daripada pakaian, tudung dan produk kecantikan.

Menurutnya, jenama yang akan turut serta dalam senarai koleksi bagi cawangan di London perlu memenuhi beberapa kriteria terutama dari aspek pemilihan material pakaian.

“Ini kerana kita perlu menyesuaikan jenis material yang digunakan dengan keadaan cuaca di negara berkenaan supaya ia memberi keselesaan kepada pengguna.

“Malah, kami juga akan membawa identiti Malaysia dalam koleksi yang dibawa seperti elemen batik,” katanya.

Selain cawangan di London, pihaknya juga kini mengendalikan dua cawangan di Ipoh dan Kajang dengan masing-masing menampilkan 80 dan 42 jenama.

Norazura berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk membuka cawangan fizikal di Johor Bahru bagi menampung permintaan dalam kalangan pelanggan dari Singapura.

“Selain cawangan fizikal, kami turut menawarkan produk secara dalam talian bagi memberi peluang kepada pelanggan di lokasi lain untuk mendapatkan koleksi yang kami tawarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 4:07 AM