SCHIESSER

Kuala Lumpur: Jumlah transaksi JomPAY, penyedia perkhidmatan pembayaran bil meningkat sebanyak 340 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada 2016 berikutan ramai pelanggan yang semakin menyedari kemudahannya.

Pengarah Urusan Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd (MyClear) Peter Schiesser dalam satu kenyataan berkata, sejak penubuhannya pada 2015, JomPAY semakin berkembang menjadi perkhidmatan pembayaran bil dalam talian yang terbesar di Malaysia dengan 1,570 kod pengebil.

Menurutnya, ia merangkumi semua syarikat telekomunikasi, syarikat utiliti elektrik, perkhidmatan televisyen berbayar, penyedia utiliti air di 11 negeri, 98 pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, syarikat insurans, broker saham, peniaga e-dagang serta perniagaan perusahaan kecil dan sederhana.

Menurutnya, perkhidmatan pembayaran bil JomPAY ditubuhkan dan dikendalikan MyClear dengan kerjasama bank di Malaysia.

Pada April 2017, MyClear melancarkan kempen ‘Be A-Class Ahead: JomPAY dan Menang’ dengan kerjasama bank di Malaysia yang menawarkan hadiah bernilai lebih RM1 juta termasuk dua kereta Mercedes-Benz A200 AMG Line sebagai hadiah utama selain rebat tunai bulanan dan mingguan.

Soon Chai Peng diumumkan pemenang satu daripada kereta Mercedes-Benz berkenaan yang menggunakan JomPAY untuk pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kempen itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan bank di seluruh negara, sekali gus menunjukkan tarikan kepada JomPAY.

“Kami mempunyai lebih 1.5 juta transaksi JomPAY sejak kempen bermula hingga 31 Julai. Kami akan memberikan sebuah lagi kereta Mercedes-Benz A200 AMG pada Ogos ini, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 3:17 AM