TUNG pada sesi soal jawab bersama media sempena Festival Pembuat Taobao.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Hangzhou (China): Alibaba Group, syarikat e-dagang terbesar China mengambil inisiatif memperkasakan penyertaan golongan muda dalam platform e-dagang, sekali gus menjadikan keusahawanan sebagai cabang perniagaan yang dinamik.

Melihat kepada kepentingan golongan muda dalam sektor berkenaan, Alibaba Group melancar serta memperkenalkan ‘Festival Pembuat Taobao’ bagi meraikan usahawan muda dalam platform Taobao Marketplace.

Ketua Pegawai Pemasaran Alibaba Group Chris Tung berkata, penganjuran edisi kedua festival itu menyaksikan seramai 108 pedagang mengambil bahagian berbanding penganjuran kali pertama pada tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan penyertaan hampir 50 peratus itu menunjukkan golongan muda semakin menunjukkan minat terhadap bidang keusahawanan khususnya e-dagang.

“Trend dalam dunia perniagaan semakin berubah berikutan perkembangan pantas dalam teknologi menjadikan e-dagang antara segmen yang memberangsangkan.

“Golongan ini mempunyai idea kreatif dan tulen di mana produk yang dihasilkan mempunyai nilai komersial lebih tinggi serta berupaya menjadi penanda aras dalam kepelbagaian inovasi pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab bersama media sempena Festival Pembuat Taobao yang berlangsung dari 8 hingga 12 Julai ini di Pusat Ekspo Antarabangsa Hangzhou di sini, semalam.

Festival itu disertai pedagang platform Taobao Marketplace iaitu antara platfrom di bawah Alibaba Group yang membabitkan empat zon pameran berbeza seperti gaya semasa, budaya, perkara kecil serta individu.

Taobao Marketplace adalah destinasi e-dagang terbesar di China yang mempunyai 200 pengguna aktif setiap hari yang menggunakannya 20 minit pada setiap sesi serta 500 juta pembeli menerusi aplikasi mudah alih.

Tung berkata, 26 peratus daripada jumlah pedagang Taobao Marketplace adalah golongan muda dan pihaknya yakin ia akan menjadi pilihan golongan berkenaan dalam menonjolkan minat serta keupayaan.

“Kami mahu Taobao terus menjadi destinasi serta tumpuan orang muda untuk mengembangkan bakat keusahawanan mereka kerana ia dapat membina ekosistem e-dagang yang lebih baik,” katanya.

Pada majlis sama, Alibaba Group turut memperkenalkan Tao Cafe iaitu kafe tanpa pekerja kaunter dan bebas tunai yang hanya menggunakan aplikasi Taobao serta akaun Alipay. Bagaimanapun, ia masih dalam peringkat percubaan dan hanya dipertontonkan pada festival berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 3:11 AM