KETUA Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (tengah) bersama Ketua Pengawai Eksekutif Paramit, Billoo Rataul (kanan) dan Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard Kagan merasmikan kilang Paramit Malaysia di Taman Sains Pulau Pinang, Taman Perindustrian Bukit Minyak.
Azma Razana Johari
am@hmetro.com.my


Batu Kawan: Paramit Malaysia Sdn Bhd (Paramit) iaitu syarikat pengeluar peranti perubatan menjadi syarikat pertama membina kilang dengan berkonsepkan ‘kilang dalam hutan’ di negara ini.

Kilang berkenaan terletak di Taman Sains Pulau Pinang di Taman Perindustrian Bukit Minyak, di sini dan dibina dengan kos berjumlah RM60 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Billoo Rataul berkata, kilang itu berkeluasan 162,000 kaki persegi dan dikelilingi lebih 1,500 pokok.

Menurutnya, perkembangan perniagaan di Asia mendorong pihaknya untuk menyediakan ruang kerja berkonsepkan alam semula jadi, tetapi memiliki fasiliti canggih dan moden.

“Selain kawasan kilang yang menenangkan, kami menggunakan sistem lantai penyejuk yang menjimatkan penggunaan tenaga sehingga 60 peratus, sekali gus mengurangkan kos operasi syarikat.

“Kilang ini sudah beroperasi pada Jun tahun lalu dan prestasinya dijangka dapat dilihat sekitar Mei hingga Jun tahun ini selain menjangkakan nilai eksport akan meningkat,” katanya pada sidang media selepas perasmian kilang berkenaan, semalam.

Beliau berkata, industri peranti perubatan di negara ini begitu penting apabila berlaku pertumbuhan dua angka pada tahun lalu dengan nilai eksport menjangkau RM17.8 bilion.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya bangga menjadi salah satu syarikat yang membawa inovasi perubatan ke negara ini dan menyumbang dalam usaha berkenaan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan, pendapatan dan memperoleh kejayaan cemerlang di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 7:12 AM