Tony Fernandes
myMetro

Kuala Lumpur: AirAsia Berhad, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia melancarkan MyCorporate iaitu barisan produk eksklusif untuk penumpang kelas perniagaan membabitkan tiga pilihan iaitu Fare Only, Corporate Lite dan Corporate Full Flex bergantung kepada keperluan penumpang dan bajet syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, produk Fare Only hanya membabitkan tambang udara dengan sebarang tambahan yang dikenakan fi.

Beliau berkata, Corporate Lite pula termasuk tambang udara, hidangan percuma, tempat duduk standard dan kaunter pemeriksaan masuk dengan penumpang boleh menukar penerbangan selewat-lewatnya 24 jam sebelum berlepas tanpa dikenakan sebarang fi bagi penukaran penerbangan.

Menurutnya, Corporate Full Flex pula membabitkan tambang udara, makanan percuma, Hot Seats, bagasi 20 kilogram, kaunter daftar masuk khas, Imigresen XPress, Bagasi Xpress, akses Red Lounge Premium, keutamaan menaiki pesawat, insurans perjalanan serta fleksibiliti penuh dengan penukaran penerbangan tanpa had sehingga dua jam sebelum berlepas tanpa caj penerbangan.

Selain itu, katanya, penumpang Corporate Full Flex juga dapat menikmati GoShow, produk eksklusif yang membolehkan mereka dalam senarai menunggu penerbangan lebih awal pada hari sama dan ke destinasi sama tanpa bayaran tambahan atau caj tambang.

“Menerusi rangkaian luas dan kekerapan merentas seluruh kumpulan, kami menyaksikan peningkatan jumlah penumpang menggunakan kelas perniagaan AirAsia.

“Menerusi pelancaran MyCorporate, kami yakin sudah mempunyai program yang memenuhi keperluan penumpang dan syarikat masing-masing dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi penguasaan kami dalam segmen penting ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, syarikat yang mendaftar untuk MyCorporate akan mempunyai akses kepada sistem tempahan dalam talian yang mudah digunakan serta laporan komprehensif untuk menjejaki perbelanjaan perjalanan korporat mereka.

Sementara itu, Ketua Jualan Korporat Kumpulan
AirAsia Barry Klipp berkata, langkah itu adalah evolusi seterusnya yang dijalankan syarikat bagi produk korporat AirAsia.

“Menerusi MyCorporate, kami mampu menawarkan produk yang tepat dengan keperluan dan perbelanjaan pelanggan korporat kami.

“Ia termasuk sama ada mereka hanya memerlukan tempat duduk tanpa keperluan tambahan, produk Lite dengan faedah asas atau memanfaatkan produk yang disediakan khusus untuk menjadikan perjalanan perniagaan mereka lebih mudah dan fleksibel,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2017 @ 1:55 AM