AHMAD Maslan (dua dari kanan) dan Razman (tiga dari kanan) melawat pameran pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran Perniagaan 90 Hari SME Bank di Kuala Lumpur, semalam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: SME Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran meluluskan pembiayaan bernilai lebih RM2.5 bilion menjelang hujung tahun ini dipacu penganjuran pelbagai program promosi bagi menggalakkan orang ramai menjadi usahawan.

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Razman Mohd Nor berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini pihaknya sudah meluluskan pembiayaan bernilai RM1.2 bilion membabitkan pemohon daripada industri seperti pembinaan, pengilangan dan perkhidmatan.

“Kami optimis mampu mencapai sasaran ini kerana SME Bank meneroka pasaran kecil dan sederhana serta melaksanakan pelbagai program promosi khusus berdasarkan industri,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah program Cabaran Perniagaan 90 Hari SME Bank, di sini, semalam.

Majlis penyampaian hadiah itu disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan. Hadir sama, Pengarah Bahagian Dasar Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi Zainab Ahmad.

Sementara itu, program Cabaran Perniagaan 90 Hari anjuran SME Bank dan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti itu mencatatkan peningkatan 93 peratus penyertaan kepada 87 kolej komuniti pada tahun ini.

Beliau berkata, penganjuran acara dwitahunan itu membuktikan usaha SME Bank yang terus komited dalam memenuhi mandat daripada kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam negara terutama golongan belia.

“Penghasilan lebih ramai usahawan muda satu daripada keutamaan kami dan program ini menjadi pelengkap kepada usaha SME Bank dalam menyasarkan golongan muda yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi,” katanya.

Seramai 20 peserta akhir disenarai pendek dengan barisan pemenang dinilai berdasarkan aspek pasaran, kewangan, pengurusan dan teknikal oleh barisan panel juri daripada SME Bank, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, SME Corp serta usahawan jemputan.

Kolej Komuniti Tawau muncul juara dan memenangi wang tunai RM15,000 diikuti Kolej Komuniti Kuching sebagai naib juara (RM10,000) dan Kolej Komuniti Sik di tempat ketiga (RM5,000).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 3:54 AM