Sharifatul Hanizah
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC), bahagian pembelajaran dan pembangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan Rangka Kerja Kecekapan Industri (ICF) bagi memberi panduan mengenai keupayaan kecekapan kepada profesional pasaran modal.

Ketua Pegawai Eksekutif SIDC Sharifatul Hanizah Said Ali berkata, langkah itu berupaya meningkatkan lagi daya saing industri susulan persekitaran global yang sentiasa berubah-ubah.

Beliau berkata, pengenalan ICF tepat pada masa kerana ia bukan saja bagi menangani kekurangan bakat dalam industri, malah menghadapi cabaran masa depan dengan meningkatkan keupayaan organisasi.

“ICF direka bentuk untuk memacu prestasi mampan dengan memperkasakan profesional dan pekerja dalam industri sedia ada serta berfungsi sebagai alat berguna untuk menilai kecekapan bagi peningkatan kerjaya dan perkembangan dalam pasaran modal.

“Melangkah ke hadapan, ICF berfungsi sebagai asas bagi pembangunan kelayakan yang diselaraskan dengan kecekapan dan program latihan untuk pasaran modal termasuk Kelayakan Profesional Pasaran Modal (CMPQ) SIDC yang akan dilancarkan akhir tahun ini.

“Ia memperincikan pengetahuan, kemahiran dan ciri utama yang diperlukan untuk peranan yang relevan dalam aktiviti pasaran modal yang dikawal selia dengan set petunjuk dan kriteria pengukuran tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Antara ciri-ciri rangka kerja ICF termasuk Kamus Keupayaan iaitu instrumen yang menerangkan kecekapan teras yang berkaitan dengan peranan khusus bersama-sama dengan tahap kecekapan yang diperlukan. 

ICF adalah rangka kerja kecekapan komprehensif yang pertama bagi pasaran modal Malaysia yang membabitkan 58 jenis kecekapan dan merangkumi 105 peranan pekerjaan.

Menurutnya, rangka kerja berkenaan dijangka dapat memperluaskan kurikulum Pendidikan Profesional Berterusan, program pengetahuan teknikal mandatori, kemahiran dan etika bagi profesional pasaran modal.

“Dengan memasukkan kecekapan tingkah laku seperti kemahiran pengurusan diri, pengurusan manusia dan kepimpinan organisasi, ia dilihat sebagai rangka kerja yang saling melengkapi dalam peringkat pekerjaan sektor profesional negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 3:52 AM