KOH (kiri) melihat replika Anicus iaitu rumah teres dua tingkat dengan keluasan tanah 1,931 kaki persegi.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Semenyih: SP Setia Berhad (SP Setia), syarikat pemaju hartanah terkemuka tempatan komited untuk memberi kelainan bagi projek Setia Eco Hill 2 yang menampilkan pembangunan perbandaran komersial dan kediaman.

Bersandarkan permintaan, syarikat itu akan membangunkan 18 fasa pembinaan rumah dan lot kedai berkonsep hijau dengan rekaan taman yang tersendiri di kawasan seluas 408.73 hektar di sini.

Sebanyak 51 peratus daripada keluasan tanah itu diperuntukkan bagi pembinaan infrastruktur dan landskap, 38 peratus (kediaman) manakala 11 peratus hartanah komersial.

Pengurus Besar Setia Ecohill Sdn Bhd Sr Koh Sooi Meng berkata, antara projek terbaru yang dilancarkan di Setia Eco Hill 2 ialah Anicus iaitu rumah jenis teres dua tingkat dengan keluasan tanah 1,931 kaki persegi.

Beliau berkata, sebanyak 113 unit dibina dengan fasa pertama mengandungi 60 unit manakala bakinya dalam fasa kedua yang dilancarkan pada April lalu.

“Anicus dibangunkan dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM66 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2019.

“Kami menerima sambutan menggalakkan bagi unit Anicus, malah fasa kedua sudah 50 peratus ditempah,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, Anicus adalah pembangunan pegangan bebas yang didatangkan dengan kawalan keselamatan 24 jam selain dilengkapi sistem penggera kediaman bagi setiap unit.

Katanya, keunikan projek Anicus bukan saja terletak pada reka bentuknya, malah turut dikelilingi tiga jenis taman riadah yang sesuai untuk aktiviti bersama keluarga mahupun sahabat-handai.

Beliau berkata, di Setia Eco Hill 2, pihaknya bukan saja memberi tumpuan kepada kediaman yang dilengkapi gaya hidup masa kini, malah membawa ciri kehijauan melalui tamannya bagi kategori hutan, tanah tinggi dan tanah lembap.

“Terdapat lapan taman bertema ikonik yang menempatkan lebih 300 spesies flora dan fauna di Setia Eco Hill 2 dan kami juga berusaha untuk mengekalkan tumbuhan asal.

“Paling penting, semua pembangunan yang dibina mengambil kira aspek hijau dan mesra alam termasuk kesempurnaan pembinaan taman yang direka khas bagi menepati keperluan gaya hidup sihat, melindungi alam sekitar, mengurangkan kesan karbon dan menyediakan persekitaran selamat dan terjamin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 1:38 AM