MUHAMMAD Ibrahim (tengah) ketika sidang media mengenai Prestasi Ekonomi Suku Pertama Tahun 2017. FOTO YAzit Razali
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


BANK Negara Malaysia (BNM) memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sebarang skim pelaburan haram kerana ia hanya akan menyebabkan skim seumpama itu terus aktif.

Gabenor BNM, Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata, aktiviti seumpama itu hanya boleh dihentikan sekiranya tidak ada penyertaan daripada orang ramai.

“Terdapat segelintir individu yang menyertai satu skim ke satu skim yang lain kerana percaya bahawa kumpulan terawal yang menyertainya akan mendapat pulangan tinggi.

“Namun, perlu diingatkan bahawa tidak ada skim pelaburan yang dapat menjamin pulangan tinggi berterusan dan hanya mampu bertahan dalam tempoh 12 bulan saja,” katanya dalam sidang akhbar Prestasi Ekonomi pada Suku Pertama 2017 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan merujuk Senarai Peringatan Kewangan Pengguna yang dikeluarkan BNM untuk mengenalpasti syarikat dan laman Web yang tidak diberikan kebenaran atau kelulusan mengikut undang-udang dan peraturan.

Sehingga 12 Mei lalu, terdapat 238 akaun syarikat sudah ditutup oleh institusi kewangan kerana aktiviti meragukan dengan 108 daripadanya tersenarai di bawah Senarai Peringatan Kewangan Pengguna yang dikeluarkan BNM.

Foto Yazit Razali

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 3:12 PM