MUHAMMAD Ibrahim menunjukkan Buku Prestasi Ekonomi Suku Pertama Tahun 2017. FOTO YAzit Razali
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


EKONOMI Malaysia berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2017 dipacu permintaan dalam negeri yang bertambah kukuh terutamanya perbelanjaan sektor swasta.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata, daripada aspek penawaran, pertumbuhan yang lebih baik ini didorong oleh sektor pertanian yang kembali pulih.

"Pertumbuhan yang lebih tinggi dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan turut menyumbang kepada prestasi yang lebih baik untuk tempoh ini," katanya dalam sidang akhbar Prestasi Ekonomi pada Suku Pertama 2017 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, inflasi secara keseluruhan meningkat kepada 4.3 peratus disebabkan harga bahan api yang lebih tinggi.

"Secara dasarnya, ekonomi negara dijangka kekal di atas landasan untuk mencatat pertumbuhan lebih tinggi tahun ini dengan permintaan dalam negeri yang terus berkembang.

"Eksport juga dijangka mendapat manfaat langsung daripada pertumbuhan global yang bertambah baik dan dalam masa, inflasi dijangka menurun pada suku kedua dan seterusnya walaupun mencatat peningkatan pada suku pertama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 2:58 PM