BERNAMA

Banting: Langkah beberapa negara anggota ASEAN khususnya Singapura dan Vietnam memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) memberi gesaan kepada Malaysia untuk turut memuktamadkan perjanjian itu segera.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, biarpun cadangan FTA itu tidak mempunyai tempoh masa, namun Malaysia menghadapi cabaran daripada rakan ASEAN untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan itu dengan kadar segera.

Beliau berkata, Singapura dan Vietnam sudah memuktamadkan FTA mereka dengan EU manakala Indonesia pula dalam peringkat rundingan.

“Kita menghadapi cabaran dari negara jiran dan kita tidak mahu ketinggalan dengan negara anggota ASEAN itu dan ia perkara penting yang kita perlu muktamadkan secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kilang Linde Malaysia Sdn Bhd, di sini.

Menurutnya, Malaysia mempunyai lapan pusingan rundingan iaitu mengenai barang dagangan dan bidang cabaran lain yang dibincangkan kecuali piawaian serta perkara yang berkaitan dengan harta intelek.

“Kami menjangka dapat melalui dan mengatasinya,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan isu termasuk isu utama sudah dibincangkan dan Malaysia sedang menunggu masa sesuai bagi kedua-dua pemimpin dari Malaysia dan EU untuk mengadakan rundingan akhir sebelum FTA itu dapat dimuktamadkan.

“Kita perlu sabar bagi ia menjadi kenyataan,” katanya sambil menambah FTA itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua rantau berikutan barangan tidak dikenakan cukai manakala pelaburan sektor pembuatan dapat bergerak bebas antara kedua-dua rantau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 1:34 AM