Nazrin (tengah) bersama Razif (dua dari kiri), Matt (dua dari kanan) dan Martin (kiri) pada sidang media majlis pelancaran CIP300, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Penyedia dana teknologi, Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) menyasarkan untuk membiayai 25 syarikat pemula teknologi pada tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM7.5 juta melalui produk pelaburan barunya, Cradle Investment Programme 300 (CIP300).

Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Nazrin Hassan berkata, CIP300 ialah program persediaan yang menawarkan pembiayaan kewangan serta bantuan lain berjumlah RM300,000 setiap syarikat bagi memulakan perniagaan berteraskan inovasi dan teknologi.

Beliau berkata, tumpuan utama produk itu juga sebagai lonjakan kepada usahawan di peringkat permulaan untuk membentuk dan mengkomersialkan produk masing-masing, sekali gus memberikan nilai kepada perniagaan dijalankan.

Menurutnya, antara ciri utama CIP300 ialah ia membabitkan rangkaian nilai tambah dalam menyokong penerima dana seperti program latihan dan bimbingan sepanjang tempoh pembiayaan 18 bulan perniagaan dijalankan.

“Selain itu, usahawan juga akan dipertemukan dengan bakal pelabur berpotensi, penyertaan dalam acara perniagaan dan rangkaian di bawah Cradle serta sokongan media dan perhubungan awam.

“Syarikat yang berminat mendapatkan pembiayaan CIP300 boleh memohon secara dalam talian bermula 24 Mei ini,” katanya pada sidang media majlis pelancaran CIP300, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Cradle Razif Abd Aziz, Naib Presiden Geran Cradle Xelia Tong, Presiden Malaysian Business Angel Network (MBAN) Dr V Sivapalan, Ketua Pegawai Eksekutif K-One Technology Berhad Datuk Martin Lim Soon Seng dan Pengarah Sunway Innovation Labs (Sunway i-Labs) Sunway University Sdn Bhd Matt Van Leeuwen.

Terdahulu, Nazrin menyaksikan majlis pertukaran dua memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Cradle, MBAN dan K-One Technology serta MoU antara Cradle, MBAN dan Sunway i-Labs.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 1:31 AM