CHENG (dua dari kanan) bersama selebriti yang menjayakan drama Panasonic Ketupat Rendang Brownies Coklat.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic Malaysia) menyasarkan peningkatan jualan sebanyak lima peratus bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2018 berbanding jualan RM1.72 bilion bagi tahun kewangan sebelumnya.

Pengarah Urusannya Cheng Chee Chung berkata, syarikat dijangka mampu mencapai sasaran itu berdasarkan peningkatan Indeks Sentimen Pengguna (CSI) bagi suku pertama 2017 yang menunjukkan peningkatan suku ke suku sebanyak 6.8 peratus.

“Pada tahun lalu, permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik agak mendatar disebabkan tahap keyakinan pengguna yang rendah akibat kejatuhan ringgit, namun kami tetap berupaya mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak lima peratus pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengumuman kerjasama antara Panasonic Malaysia dan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Jualan dan Strategi Kumpulan Perkhidmatan Pelanggan MPB Nini Yusof dan Pengarah Pemasaran Pengguna dan Perkhidmatan Pelanggan Panasonic Malaysia Taaki Uehara.

Cheng berkata, kerjasama syarikatnya dengan MPB diyakini mampu mengukuhkan kedudukannya dalam segmen produk elektrik pengguna di pasaran, sekali gus meningkatkan tahap penembusan produk Panasonic kepada seluruh isi rumah di negara ini.

“Kerjasama ini penting bagi mengembangkan lagi perniagaan kami di saat Malaysia mengalami pemulihan tahap keyakinan pengguna secara beransur-ansur dan kami akan memanfaatkan jualan produk elektrik pengguna yang menjadi penyumbang utama jualan keseluruhan di negara ini,” katanya.

Kerjasama inovatif itu menyaksikan pembabitan perkongsian kandungan pelbagai platform bagi membantu Panasonic membina persona jenama khusus bagi menarik pengguna Melayu sempena Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

Nini pula berkata, kerjasama itu bukti kedudukan MPB sebagai konglomerat media terbesar di negara ini dengan keupayaan untuk mencapai penonton yang luas merentasi pelbagai platform.

“Panasonic Malaysia bersama MPB akan mempersembahkan drama ‘Panasonic Ketupat Rendang Brownies Coklat’ bermula 25 Mei hingga 15 Jun di TV3 yang menampilkan pelbagai integrasi produk bagi menggambarkan Panasonic sebagai sebahagian kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.

Selain siri drama itu, Panasonic Malaysia juga akan mendekati pengguna melalui pelbagai saluran membabitkan kandungan berjenama, tren Transit Aliran Ringan (LRT) serta menerusi pelbagai platform di bawah MPB termasuk The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Big Tree, radio dan tonton.

Sempena Aidilfitri akan datang, Panasonic Malaysia menganjurkan kempen pengguna, ‘Sehati Beraya’ bermula kelmarin hingga 30 Jun yang menawarkan promosi pukal Panasonic ‘Kombo Sehati’, pembelian dengan pembelian dan hadiah percuma untuk pembelian produk terpilih Panasonic.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 1:29 AM