DARI kiri, Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Datuk Ahmad Izham Omar, Amrin, FD Iskandar, Mustapa, Ketua Setiausaha MITI Datuk Seri J Jayasiri, Pengarah Kanan MITI Wahida Nordin dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk N Rajendran ketika lawatan korporat di Seri Pentas, MPB di Petaling Jaya, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sudah mewujudkan sekretariat bagi membantu melancarkan pelaksanaan inisiatif One Belt, One Road (OBOR) antara China dan Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kementeriannya bertanggungjawab untuk memantau projek pelaburan yang dimeterai antara syarikat Malaysia dan China.

Beliau berkata, penubuhan sekretariat itu lanjutan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan syarikat China ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Beijing, baru-baru ini.

“Kerajaan sudah bersetuju untuk mewujudkan sekretariat OBOR bagi memantau projek yang akan dilaksanakan di negara ini dan di China. Oleh itu, sangat penting untuk memastikan projek yang diperoleh itu berjalan dengan lancar.

“Semua projek harus dipantau, bukan saja untuk memastikan ia dilaksanakan, tetapi juga dari segi strategi supaya kedua-dua negara mendapat faedah,” katanya kepada media selepas sesi lawatan korporat di Seri Pentas, Media Prima Berhad (MPB), di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan MPB Datuk Seri FD Iskandar, Pengarah Urusan Kumpulan MPB Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Datuk Abdul Jalil Hamid.

Mustapa berkata, selain itu, kementeriannya juga ingin memastikan terdapat pembabitan syarikat Malaysia dalam projek yang dijalankan.

“Sebanyak sembilan projek bernilai lebih RM30 bilion diperoleh melalui MoU itu dan pada November nanti pula, lebih kurang 14 projek bernilai RM144 bilion yang sebahagian besarnya adalah infrastruktur.

“Oleh itu, ini semua harus dipantau dengan teliti supaya syarikat Malaysia juga mendapat faedah dan terbabit sama dalam pelaksanaan projek itu nanti,” katanya.

Sebelum ini, sembilan perjanjian perniagaan dimeterai antara syarikat Malaysia dan China dengan cadangan pelaburan bernilai AS$7.22 bilion (kira-kira RM31.3 bilion).

MoU itu bagi pelbagai sektor terutamanya kerjasama dalam bidang pembinaan, pertanian, bursa saham, prasarana, pelabuhan serta lapangan terbang. Kebanyakan projek itu nanti akan dilaksanakan di Malaysia.

OBOR pula yang dicetuskan oleh China bermatlamat menyatukan ekonomi Eropah, Asia dan Afrika menerusi rangkaian prasarana pengangkutan dan komunikasi dengan menghidupkan semula Laluan Sutera (Silk Road) sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 2:06 AM