PENGERUSI baru UMW-OG Datuk Abdul Rahman Ahmad (dua dari kanan) bersama Bekas Pengerusi UMW-OG Tan Sri Asmat Kamaludin (dua dari kiri), Rohaizad (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan, UMW Oil & Gas Corp Bhd, Wai Thuy Fong melihat buku laporan tahunan.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: UMW Oil & Gas Corporation Berhad (UMW-OG) berhasrat untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju minyak dan gas di Malaysia dengan memberi fokus untuk membida tender di pasaran tempatan pada tahun ini.

Presidennya Rohaizad Darus berkata, pada masa ini, syarikat sedang membida 33 projek dengan nilai RM3.2 bilion bagi pelantar penggerudian ‘jack-up’ dengan 13 adalah projek tempatan manakala, 20 projek lagi di pasaran antarabangsa.

“Pada masa sama, kami akan melihat semula pasaran ASEAN yang pernah diteroka sebelum ini terutama di Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Myanmar, sekali gus membantu mencapai kadar penggunaan 90 peratus pada tahun akan datang,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan UMW-OG ke-7, semalam.

Pada tahun kewangan 2016, kumpulan itu mencatatkan hasil keseluruhan sebanyak RM321 juta berbanding RM840 juta pada 2015, yang disebabkan oleh pengurangan aktiviti penerokaan dan pengeluaran dalam industri minyak dan gas.

Beliau berkata, pasaran tahun ini dijangka lebih baik berbanding 2016 dengan harga asas bagi minyak akan kekal berdasarkan kemungkinan had pengeluaran berterusan sepanjang tahun ini oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara pengeluar minyak utama global yang lain.

Menurutnya, keadaan itu akan memberi peluang kepada syarikat minyak untuk melabur semula dan ia boleh dilihat apabila tujuh pelantar penggerudian UMW-OG sedang digunakan dan berada di bawah kontrak dalam tempoh hanya enam bulan pengurangan pengeluaran.

“Kami kini fokus untuk mengukuhkan kewangan melalui terbitan hak serta membiayai semula hutang sedia ada bertujuan memastikan stamina kewangan kekal bertahan bagi pelaksanaan pelan strategik dan memulakan perubahan kitaran industri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, UMW-OG mengumumkan kejayaan mendapatkan dua kontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd bernilai RM151.07 juta untuk memberikan perkhidmatan kepada firma dan telaga minyaknya.

Kejayaan memperoleh kontrak bagi dua pelantar penggerudian ‘jack-up’ dikenali UMW Naga 3 dan UMW Naga 4 itu dijangka membantu syarikat untuk mencapai kadar penggunaan 100 peratus dalam tempoh enam bulan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 1:58 AM