Boeing, syarikat pembuat kapal terbang terbesar dunia optimis tempahan pesawat komersial dihasilkan syarikat itu akan terus meningkat pada masa akan datang seiring dengan pertumbuhan industri penerbangan dunia.

Naib Presiden Kanan Jualan Asia Pasifik dan India Boeing Commercial Airplanes (BCA), Dr Dinesh Keskar berkata, dalam tempoh 20 tahun akan datang, kira-kira 40 peratus daripada tempahan pesawat Boeing datangnya daripada syarikat penerbangan yang berpangkalan di Asia Pasifik termasuk Asia Tenggara.

Beliau berkata, pada masa ini pertumbuhan industri penerbangan di Asia Tenggara agak besar iaitu kira-kira lapan peratus setahun, mengatasi kadar pertumbuhan dunia sekitar lima peratus, diikuti sebanyak empat peratus di Amerika Syarikat serta kawasan lain termasuk Asia Barat.

Menurutnya, kadar pertumbuhan industri penerbangan serta peningkatan tempahan pesawat komersial Boeing itu disebabkan pelbagai faktor terutama oleh kemunculan syarikat penerbangan baru yang menawarkan perkhidmatan tambang rendah dari negara di Asia Pasifik khususnya Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Katanya, kemunculan banyak syarikat penerbangan tambang rendah itu disebabkan peningkatan pendapatan boleh guna penduduk di negara berkenaan menyebabkan pengangkutan udara kini menjadi pilihan terutama bagi penerbangan jarak dekat.

“Berikutan faktor itu, dalam tempoh 20 tahun akan datang, 40 peratus penyerahan pesawat keluaran Boeing datangnya dari negara di Asia Pasifik,” katanya kepada media sebelum majlis penyerahan pesawat terbaru Boeing 787-8 Dreamliner yang dilengkapi ruang rehat juruterbang dan anak kapal di bahagian atas milik Scoot, syarikat penerbangan tambang rendah jarak sederhana dan jauh terbaik Asia Pasifik di Boeing Everett Airfield, di sini.

Beliau berkata, rantau Asia Pasifik adalah kawasan yang paling pesat membangun di dunia menyebabkan permintaan terhadap tempahan pesawat komersial Boeing juga meningkat seiring dengannya.

Menurutnya, selain tempahan daripada syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan tambang rendah, permintaan tempahan juga datang daripada syarikat penerbangan premium yang mahu menggantikan pesawat lama mereka dengan pesawat terbaru Boeing yang lebih canggih dan mampu menjimatkan kos operasi terutama kos bahan api, sekali gus mengoptimumkan keuntungan.

Katanya, biarpun ketika ini, Boeing menguasai kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan pasaran pesawat komersial namun tumpuan utama Boeing pada masa akan datang adalah untuk menghasilkan pesawat yang mampu memenuhi keperluan bukan saja syarikat penerbangan yang memilikinya, malah meningkatkan pengalaman dan keselesaan penumpang yang menaiki pesawat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 3:48 PM