ANWAR Syahrin (dua dari kanan) melancarkan Arcoris Mont Kiara, semalam.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) berhasrat melancarkan enam projek yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.7 bilion tahun ini, sekali gus memacu kepada sasaran jualan RM1.2 bilion.

Tahun lalu, syarikat itu melancarkan dua hingga tiga projek dengan mencatatkan RM1.3 bilion nilai jualan yang mana angka berkenaan melebihi unjuran RM1 bilion yang diletakkan pada awal tahun berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya Anwar Syahrin Ajib berkata, pihaknya berhati-hati menilai pasaran meskipun nilai projek yang dilancarkan tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, dalam masa sama, pihaknya terus menerokai bank tanah baru tahun ini di kawasan strategik bagi membolehkan syarikatnya terus memperkenalkan produk bagi memacu pengukuhan jenama di dalam pasaran.

“Ketika ini di Kuala Lumpur syarikat mempunyai 202 hektar bank tanah dan setiap tahun kami memperuntukkan secara purata antara RM300 juta ke RM500 juta bagi tujuan pengambilalihan bank tanah baru.

“Pada tahun ini, belum ada keputusan muktamad bagi mengumumkan bank tanah baru memandangkan ada antaranya masih di dalam proses rundingan. Seperti diketahui umum bukan mudah mengambilalih tanah kerana ia membabitkan pelbagai prosedur dan kami perlu merujuk kepada aliran kewangan syarikat,” katanya pada majlis memperkenalkan Projek Arcoris Mont’ Kiara di sini, semalam.

Arcoris Mont’ Kiara, Kuala Lumpur yang dilancarkan pada 2013 adalah projek komponen bersepadu yang mempunyai GDV RM1.2 bilion.

Majlis penyerahan kuncinya dijangka diladakan pertengahan bulan ini.

Projek Arcoris Mont’ Kiara dibangunkan dengan kerjasama firma arkitek dan reka bentuk antarabangsa Foster+Partner yang mana ada lima komponen utama terdiri daripada Arcoris Suites, Arcoris Soho, Arcoris Residences, Hyatt House dan Arcoris Plaza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 2:15 AM